Ketua Pegawai Eksekutif Ma­GIC, Ashran Ghazi berkata, usahawan perlu peka akan perubahan pasaran seterusnya membina ke­upayaan kreativiti dan inovasi bagi melahirkan bakat yang boleh bersaing di peringkat global.

Katanya, perkhidmatan digital baharu yang telah mengambil alih dunia dan kehidupan ha­rian manusia berikutan kemajuan teknologi memerlukan usahawan untuk memikirkan modul perniagaan yang belum ada di pasaran.

Jelas beliau, usahawan tempatan mahupun di rantau ASEAN ketika ini lebih mengikut trend semasa justeru menjual produk dan perkhidmatan yang sama pada akhirnya tidak menawarkan pelbagai pilihan kepada orang ramai.

“Perniagaan baharu atau startup memberi cabaran kepada peneraju industri yang kini hanya mempunyai pilihan sama ada untuk berubah atau gulung tikar.

“Sedang pemain industri sedia ada ini sibuk dengan per­saingan antara satu sama lain, startup memperkenalkan penyelesaian ba­haru yang berbentuk disruptif untuk menangani cabaran semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Cabaran perniagaan seperti strategi perniagaan yang lebih unik itu merupakan antara intipati Simposium Akademi MaGIC (MA2017) yang akan diadakan bermula 4 hingga 7 Oktober ini di Bangunan MaGIC di Cyberjaya.

Simposium MA2017 kali keempat yang menumpukan tema ke­usahawanan disruptif dijangka di­sertai lebih 2,500 peserta.

Menurut Ashran, tarikan utama simposium berkenaan adalah tema berbeza akan dibincangkan pada setiap hari seperti penyelesaian masalah, pertumbuhan dan peluang, trend masa depan serta bakat dan budaya.

Tambahnya, antara pence­ramah terkemuka yang bakal me­nyertai Simposium MA2017 berkongsi pengalaman adalah Rakan Usaha sama IDEO, Tom Kelley dan Jurutera Perisian Pinterest, Adam Burmister.

“MaGIC menyokong usahawan pada semua peringkat pertumbuhan, membantu mereka merea­lisasikan idea, membina kemahiran kreativiti dan inovasi serta memperbaharui perniagaan sedia ada.

“Kami menghubungkan mereka dengan rakan dalam ekosistem untuk peluang pasaran dan memberikan kesempatan kepa­da mereka untuk mendapatkan bimbingan dan pengetahuan da­ripada pakar terkemuka dalam ekosistem keusahawanan di pe­ringkat global.