“Buat masa ini, kami masih di bawah MoF dan tidak mendapat sebarang petunjuk lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, apabila ditanya mengenai status organisasi itu.

Terdahulu beliau menghadiri Program Pemecut MaGIC IDEA (Impact-Driven Enterprise Accreditation).

Ditanya mengenai pelantikan pengerusi baharu MaGIC, Ashran berkata: “ Kami masih menunggu petunjuk daripada Kementerian (Kewangan).”
Pada 14 Mei, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi MaGIC telah dipindahkan ke jabatan lain.

Sementara itu, Ashran berkata, MaGIC akan terus membantu memperkasakan usahawan sosial tempatan dalam membentuk sektor didorong oleh impak di Malaysia.

Beliau berkata, MaGIC IDEA merupakan satu lagi program yang menumpukan secara eksklusif untuk membangunkan perusahaan sosial tempatan.

Ia bertujuan menyediakan perusahaan yang didorong impak (IDE) dan perusahaan sosial (SE) di peringkat awal dengan peluang untuk merintis idea mereka, mengukuhkan model perniagaan, memperkuatkan model pelaksanaan impak dan memperoleh modal menerusi pembiayaan dana menggunakan strategi inovatif.

“Kami melihat peningkatan jumlah usahawan dalam perniagaan membawa impak kepada masyarakat atau alam sekitar di sini di Malaysia.

“Kami berharap peserta dalam Program Pemecut IDEA akan memainkan peranan penting dalam transformasi yang lebih besar di Malaysia.

“Dengan memacu pertumbuhan dalam sektor didorong impak, MaGIC berhasrat membantu mengimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar dan menambah baik masyarakat, di samping menyokong Malaysia dalam menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Ashran.

Sejumlah 29 IDE dan SE menyelesaikan unit pertama Program Pemecut IDEA MaGIC selepas enam minggu dan menumpukan kepada lima impak utama, iaitu pekerjaan bagi komuniti terpinggir, kesamarataan dan pemerkasaan, pencemaran dan pengurusan sisa buangan, pertumbuhan pendpatan/produktiviti dan pembangunan komuniti. – BERNAMA