Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya, Amiroel Shazrie Yussof berkata, MH6052 ke Brunei adalah bagi memenuhi permintaan khas daripada pe­langgan dan selamat tiba di destinasi pada pukul 10.35 pagi.

Kata beliau, penghantaran yang melibatkan bungkusan yang besar itu ditempatkan di dalam sebuah peti dan proses memasukkan kargo ke dalam pesawat pengangkut A330-200F dilakukan secara berhati-hati.

“Membawa alatan atau bahagian daripada industri mi­nyak dan gas (O&G) merupakan tugasan yang sangat mencabar. Dalam situasi ini kami perlu menetapkan semula perjalanan yang telah dirancang untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan dan Hanoi .

“Penetapan ini dibuat bagi memenuhi permintaan khas pelanggan yang mahukan kiriman tersebut dihantar dengan segera. Secara tidak langsung ia mencerminkan komitmen dan fleksibiliti kami dalam memenuhi setiap permintaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Amiroel Shazrie, tempahan penerbangan sangat sesuai dengan industri O&G kerana ia membolehkan para pelanggan bekerja mengikut jadual mereka.

Menurutnya, proses yang bermula dengan penyelarasan sehingga kepada penghantaran memberikan MABkargo pelbagai pengalaman berharga menerusi penghantaran peralatan O&G ke beberapa destinasi di seluruh dunia.

Katanya lagi, pihaknya turut mengendalikan pelbagai jenis kargo termasuk O&G, perlumbaan permotoran, peralatan konsert dan haiwan ternakan.

“Pengalaman dalam menguruskan permintaan pelanggan memberikan kami kekuatan selain berjaya memperoleh kepercayaan daripada mereka.

“Tempahan penerbangan me­rupakan penjana utama kepada perolehan MABkargo,” ujarnya.