Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew berkata, MAB juga tidak menolak kemungkinan untuk memberi tumpuan kepada penerbangan tanpa henti ke negara-negara Eropah.

Katanya, bagaimanapun per­­saingan amat sengit me­mandang­kan syarikat penerba­ngan seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways menawarkan kadar pe­nerbangan tanpa henti yang lebih murah ke destinasi di Eropah berbanding Malaysia Airlines.

“Sememangnya kami secara berterusan sentiasa mencari peluang-peluang baharu dalam meneroka lebih banyak laluan, tetapi kami perlu pastikan ia untung dan berbaloi. Pastinya China, misalnya satu pasaran yang sa­ngat besar dan tahun ini sahaja kita telah membuka sembilan laluan ke negara tersebut.

“Ini satu langkah pengembangan yang cukup besar untuk kumpulan bagi tahun ini dan dalam masa sama, kami cuba melihat laluan terus dari Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Ku­ching. Akan tetapi kami perlu pastikan, kos asas adalah betul dan menguntungkan.

“Tahun depan pula akan me­nyaksikan lebih banyak tambahan frekuensi, cuma yang menjadi keutamaan kami sekarang untuk menambah bilangan pesawat dan menguruskan laluan sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sepanjang tahun ini, MAB akan mengembangkan 11 laluan baharu bermula dari China ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Pada suku kedua akan menyaksikan tiga destinasi baharu iaitu ke Wuhan, Fuzhou dan Nanjing bermula Jun lalu atau Julai ini dengan perkhidmatan tambahan ke Chengdu dan Chongqing pada Oktober 2017.

Perkhidmatan dari Kota Kinabalu ke Tianjin pula disasarkan dilancarkan pada suku ketiga termasuk dua lagi perkhidmatan tambahan baharu dari Pulau Pinang ke pasaran baharu China.

Sebagai sebahagian daripada langkah mengoptimumkan rangkaian secara berterusan, MAB menamatkan laluan antara Darwin dan Kuala Lumpur mulai 28 Julai ini sebaliknya akan terus meningkatkan frekuensi ke Ade­laide, Auckland dan Perth.

Awal Jun lalu, Reuters me­laporkan MAB berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan pemilikan enam atau tujuh pesawat terpakai bersaiz besar, A330 dan berharap untuk menandatangani perjanjian pada Julai dan membawa ma­suk pesawat-pesawat itu menjelang hujung tahun ini.

Buat masa ini, MAB sedang berbincang dengan syarikat pe­nerbangan dan pemajakan bagi membawa masuk pesawat bersaiz besar menggantikan pesawat satu lorong (single-aisle planes) yang digunakan dalam beberapa penerba­ngan selama lima jam seperti ke India, China dan Hong Kong.

MAB juga masih berusaha untuk menempah sekitar 30 pesawat bersaiz besar baharu daripada Boeing atau Airbus untuk penghantaran pada 2019 dan 2020, namun harga yang ditawarkan adalah tidak realistik.

Dalam pada itu, Bellew berkata, syarikat-syarikat penerba­ngan antarabangsa termasuk MAB akan terus memberi fokus untuk meningkatkan operasi dan perniagaan masing-masing di sebalik ketidaktentuan geopolitik dan halangan perjalanan di beberapa buah negara.

“Kami tiada masa untuk melayan isu berkaitan politik mahupun perang harga. Ini adalah masa untuk fokus kepada perniagaan. Malah, dengan harga minyak global yang dijangka boleh mencecah sehingga AS$35 hingga AS$40 (RM150 hingga RM171.52) dalam tempoh sedekad lagi, ia adalah sesuatu yang menarik kepada syarikat penerbangan di Asia dengan perjalanan jarak jauh akan menjadi lebih ekonomik,” katanya.