Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berkata, kebanyakan kritikan dilemparkan adalah tidak tepat dan lebih bersifat mahu mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Kita sudah melakukan pelbagai penambahbaikan daripada aspek operasi dan mematuhi setiap peraturan ditetapkan kerajaan.

“Komitmen Lynas sejak memulakan operasi di sini adalah jelas dan kami ingin menjadi loji memproses nadir bumi bertaraf dunia dengan menekankan aspek pengurusan sisa secara les­tari,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Lacaze, pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan pengiktirafan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebagai bukti operasi kilang berkenaan memenuhi kriteria ditetapkan dan selamat.

“Pihak pengurusan Lynas juga sentiasa memantau kadar pelepasan radiasi yang didakwa boleh mendatangkan kesan negatif terhadap penduduk sekitar kawasan perindustrian itu.

“Keselamatan komuniti setempat sentiasa menjadi keutamaan. Kami sentiasa memantau dan merekodkan kadar bacaan radiasi di kawasan antara satu kilometer (km) hingga 20 km dari kilang bagi memastikan radiasi dihasilkan tidak menjejaskan kesihatan dan kese­lamatan penduduk,” jelasnya.

Tambahnya, semua komitmen itu sebagai bukti kesungguhan Lynas dalam menjaga kepentingan semua pihak di samping memastikan operasi kilang memberi manfaat kepada semua terutama penduduk sekitar.

“Sejak beroperasi pada 2011, Lynas membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 700 penduduk tempatan dalam pelbagai bidang kemahiran sekali gus membantu merancakkan ekonomi di negeri ini,” katanya.