Bagaimanapun, saham George Kent (Malaysia) Bhd. (George Kent) meningkat lima sen atau 4.39 peratus kepada RM1.19 sesaham.

Menurut MIDF Research, langkah meneruskan projek tersebut akan memberi impak positif kepada syarikat kerjasama antara MRCB-George Kent.

Katanya, walaupun pengurangan kos dibuat dengan jumlah yang banyak, pendekatan penjimatan kos oleh kerajaan baharu tidak menyebabkan kehilangan peluang pendapatan bagi syarikat usaha sama itu.

“Bagaimanapun, struktur kos telah diubah suai dengan ketara. Dengan mengambil kira perkara ini dan model harga tetap baharu, kami mengunjurkan margin keuntungan bersih akan diselaraskan lebih rendah,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek LRT3 dengan belanja sebanyak RM16.6 billion, me­rangkumi kos pengambilan balik tanah, faedah semasa pembinaan dan kos-kos lain.

MRCB dalam kenyataan semalam berkata, Prasarana Malaysia Bhd. telah memaklumkan kepada syarikat mengenai penerusan projek infrastruktur itu melalui surat kepada MRCB George Kent Sdn. Bhd. bertarikh 16 September 2018.

Pelaksanaan projek itu akan distrukturkan semula daripada Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDP) kepada rejim kontrak harga tetap.

Pada 2015, pengendali projek LRT3, Prasarana Malaysia, telah melantik MRCB dan George Kent (Malaysia) Bhd. sebagai PDP bagi LRT3, dengan bajet permulaan sebanyak RM9 bilion untuk kerja-kerja pembinaan dan RM1 bilion bagi pengambilalihan tanah.

Sebelum ini, pada 30 Mac 2018, Prasarana telah mengemukakan kos projek LRT3 yang berjumlah RM31.65 bilion dan pada masa sama, selain daripada pembiayaan dalam bentuk jaminan kerajaan yang bernilai RM10 bilion yang telah diluluskan pada 2015, Prasarana cuba memohon pembiayaan kewangan tambahan sebanyak RM22 bilion, juga dalam bentuk jaminan kerajaan.

Pada 11 Julai lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan kos keseluruhan projek tersebut dari Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang melalui Shah Alam melambung sehingga RM31.65 bilion dan menyalahkan Prasarana disebabkan pengurusan yang lemah.

Kemudiannya, Kementerian Kewangan mengumumkan projek LRT3 dengan jarak sepanjang 37 kilometer itu akan dite­ruskan namun pada kos yang lebih rendah, iaitu RM16.63 bilion, berkurangan 47 peratus berbanding kos asal.

Penjimatan bernilai RM15 bilion itu bukan sahaja penting dalam konteks pengurangan hutang negara, malah juga bakal memberi penjimatan tambahan bernilai RM14 bilion khususnya dalam kos faedah sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman kewangan.

Sementara itu, Affin Hwang Capital berkata, langkah sete­rusnya akan melibatkan rundingan bagi pakej kerja kontraktor untuk mengurangkan nilai kontrak mereka dan skop kerja yang akan dijalankan.

“Syarikat Sunway Construction Group Berhad, WCT Holdings Bhd., Gabungan AQRS Berhad, Mudaya Corporation Berhad, TRC Synergy Bhd. dan IJM Corporation Berhad merupakan kontraktor yang menjalankan pakej kerja utama LRT3 dan dijangka me­nerima kesan terhadap kemungkinan nilai kontrak dikurangkan,” katanya.