Pengurus Projek dan Pembangunan Perniagaan LFS, Mohamad Shah Abdul Aziz berkata, syarikat tersebut membelanjakan sebanyak RM14 juta bagi membina pawagam tersebut yang mempunyai tujuh skrin dengan kapasiti penonton sebanyak 1,000 orang dalam satu-satu masa.

Katanya, selain kualiti perkhid­matan lima bintang yang ditawarkan, pawagam terbaharu LFS itu turut dilengkapi dengan skrin di­gital dan sistem bunyi Dolby Atmos iaitu yang terbaik ketika ini demi kepuasan setiap pelanggan.

“Bandar ini dihuni oleh kira-kira 500,000 penduduk tidak termasuk pelancong dan penduduk dari daerah-daerah lain tetapi masih belum ada pawagam, justeru kami datang ke sini untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka.

“Kami yakin pawagam ini akan mendapat sambutan me­nggalakkan dan mampu me­nyumbang kepada peningkatan ekonomi bandar ini kerana penduduk dari daerah lain seperti Lahad Datu dan Semporna juga boleh datang untuk menonton wayang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika melawat tapak pembinaan pawagam itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, pengarah LFS, Datin Nuralida Mohamad Noor dan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Md. Afendi Hamdan yang telah melontarkan idea asal pembukaan pawagam itu kepada LFS dua tahun lalu semasa beliau masih menjawat jawatan berkenaan.

Menurut Mohamad Shah, LFS kini mempunyai 125 pawagam di 25 lokasi seluruh negara dan pihaknya juga merancang untuk membuka beberapa lagi pawagam di tempat-tempat yang strategik.

Sementara itu katanya, sebagai hadiah kepada penduduk Sandakan, pawagam berkenaan menawarkan tayangan percuma sebanyak lima filem setiap hari di dalam setiap dewan selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Julai.

“LFS menjemput orang ramai untuk datang menonton beberapa filem yang sedang hangat ditayangkan ketika ini seperti Ip Man 3, Mermaid dan Munafik tanpa perlu membayar apa-apa.

“Ini adalah cara kami menghargai setiap bakal pelanggan dan antara langkah promosi syarikat bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung selepas ini,” katanya.