Ahmad Fuaad Kenali
Ahmad Fuaad Kenali

Ketua Pegawai Ek­sekutif Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Ahmad Fuaad Kenali (gambar) berkata, lazimnya pe­ngenalan varian baharu akan membantu me­ningkatkan prospek jualan ke­seluruhan kenderaan meskipun berdepan keadaan mencabar semasa.

Katanya, Lotus Cars Malaysia juga merancang melancarkan ti­ga lagi varian baharu iaitu Exige Race 230, Exige Cup 380 serta Elise Sprint 220 sepanjang tahun ini dengan model ter­akhir dijangka diperkenalkan sekitar suku ketiga tahun ini.

“Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1998, sebanyak 386 buah kenderaan Lotus telah terjual dengan purata tahunan sebanyak 25 buah. Kami menjangkakan angka ini meningkat tahun ini seiring dengan pengenalan va­rian baharu.

“Sebagai pembekal komponen tulen (OEM), visi kami adalah untuk meningkatkan jualan. Kedua-dua varian ini akan merangsang minat dan membuka segmen baharu da­lam pasaran kereta Sport yang sangat kecil, namun sema­kin berkembang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kedua-dua varian Lotus Evora Sport 410 dan 3-Eleven tersebut yang turut dihadiri Ketua Lotus Cars Malaysia, Tengku Djan Ley Tengku Ma­haleel di sini baru-baru ini.

Lotus Cars Malaysia, mi­lik Proton merupakan pengeluar kereta sports dan kereta lumba British yang terkenal dengan kejuruteraan reka bentuk dan pembinaan kereta ringan serta dilengkapi dengan ciri-ciri pengendalian terbaik.

Evora Sport 410 ia­itu versi baharu daripada Evora 400 ditawarkan pada RM640,999 untuk manu­al dan RM651,999 bagi automatik, sementara 3-Eleven dengan dua varian pula boleh didapati pada RM640,855 versi Road dan RM868,214 versi Race.

Evora Sport 410 dijana oleh enjin V6 3.5 liter dengan bantuan super charger dari Edelbrock yang mampu mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.1 saat, selain 70 kilogram (km) lebih ringan berbanding model standard.

3-Eleven juga dijana oleh enjin sama, namun versi Ra­ce diberi sedikit talaan berbeza bagi kelajuan tambahan. Kedua-dua varian dilengkapi bahan komposit ringan menjadikannya 40 peratus lebih ringan daripada 2-Eleven sebelumnya.