Pengarah Urusannya, Habibul Ajmi Manggar berkata, dua produk minuman kesihatan itu kini dalam proses pendaftaran di beberapa buah negara antaranya Asia Barat iaitu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu serta China dan Indonesia sebelum boleh dihantar ke negara berkenaan untuk dipasarkan.

“Produk ini (Longjack X dan KF) sudah ada di pasaran tiga bulan lepas, cuma hari ini kita lancarkan sahaja. Produk ni bukan sahaja fokus untuk pasaran tempatan tetapi sebenarnya kita memang memberi tumpuan kepada pasaran antarabangsa.

“Jadi dalam masa terdekat kita dalam peringkat akhir bagi urusan produk dengan beberapa pengedar kita di negara luar yang mana kita jangkakan produk ini dalam waktu terdekat akan dihantar ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan kedua-dua produk berkenaan dalam Majlis Jamuan Teh Bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob sempena meraikan Penganugerahan ‘The Brandlaureate World Halal Bestbrands Awards 2018’ dalam kategori Kesihatan Herba kepada OK Group di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee dan Mufti kerajaan negeri, Datuk Abdul Halim Tawil.

Sementara itu, Habibul Ajmi memberitahu, negara-negara berkenaan dipilih sebagai sasaran bagi memasarkan produk tersebut kerana pihaknya sudah mempunyai rangkaian di sana, secara langsung memudahkan urusan perniagaan mereka.

“Maksudnya rangkaian dari segi pengedaran kita sudah kenal orangnya dan mereka mempunyai rekod yang baik dalam hal urus niaga. Apabila kita lancarkan produk baharu dengan kualiti sebegini, mereka sangat tertarik dan berminat dengan produk tersebut.

“Produk ni memang produk baharu dan dengan kerjasama daripada pasukan bola sepak Felda United, mereka banyak membantu mempromosi produk ini untuk ahli-ahli sukan dan juga belia. Setakat ni memang sangat baik (penjualan dalam pasaran tempatan) dan sangat diterima... kita dalam proses menambah baik produk ini dari segi peningkatan unit,” katanya. - UTUSAN ONLINE