Stesen janakuasa menggunakan teknologi Ultra Super Critical ketiga milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta dua lagi stesen janakuasa tersebut di Manjung 4 dan Manjung 5 di Perak adalah paling efisien di rantau ini.
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, apabila JEP beroperasi, ia akan meningkatkan sumbangan kapasiti penjanaan TNB kepada kapasiti penjanaan negara daripada 51.8 peratus kepada 53.2 peratus.
Pembinaan projek itu dijangka siap mengikut jadual dan dijangka mencapai tarikh operasi komersial (COD) seawal pertengahan 2019.

“Stesen janakuasa elektrik JEP yang berkapasiti 2,000 me­gawatt (MW) merupakan stesen janakuasa elektrik terbesar di Negeri Sembilan.

“Projek ini dijangka mencapai COD pada 15 Jun 2019 untuk unit 1 dan unit 2 pula pada 15 Disember 2019. Dengan terlaksananya projek infra rakyat ini nanti akan menyumbang kepada kestabilan grid nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Lawatan Tapak Projek Stesen Janakuasa JEP 2x1,000MW Berasaskan Arang Batu di Jimah di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.
Leo Moggie berkata, projek dengan kos RM12.1 bilion itu dimiliki 70 peratus oleh TNB manakala baki 30 peratus milik JEP Sdn. Bhd. yang dimiliki Mitsui & Co. Ltd. dan Chugoku Electric Power.

Katanya, JEP menggunakan teknologi pembakaran arang batu dengan kecekapan 40 peratus berbanding 36 peratus kecekapan dicatatkan oleh sitem arang batu berhablur.

“Ditambah dengan penggunaan teknologi berstatus tinggi daripada syarikat multinasional Jepun dan Korea seperti Ihi, Toshiba, Hyundai dengan kerjasama Mitsui dan Chugoku, ia menjadikan usaha sama projek tersebut bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, pembinaan stesen janakuasa elektrik berkenaan mampu menjadi pemangkin bagi menarik kehadiran lebih ramai pelabur ke negeri ini.
“Walaupun dalam keghairahan kita mahu membangunkan negeri ini tetapi, kerajaan negeri sentiasa mementingkan pelaburan berkualiti, yang tidak memudaratkan masyarakat dan alam sekitar.

“Melalui kemudahan asas seperti elektrik yang stabil dan bekalan air, saya yakin kita mampu menarik pelaburan industri yang berteknologi tinggi dan boleh membayar gaji tinggi kepada anak tempatan,” ujarnya.