Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, buat masa sekarang kumpulan itu memberikan tumpuan kepada opsyen penerokaan bagi menjadikan cadangan projek itu mempunyai keupayaan berdaya saing dengan pengeluar-pengeluar LNG yang lain di Utara Amerika.

“Kami akan mengumumkan FID pada masa yang sesuai,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan pada hari kedua Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) Kali Ke-19 di sini hari ini.

Sumber Petronas di Kanada adalah signifikan selepas ia terbukti memiliki rizab sebanyak kira-kira 26 bilion kaki padu (Bcf).

“Kami berazam untuk menjana keuntungan melalui rizab tersebut pada harga dan masa yang sesuai.

“Pasukan yang terbabit dengan projek itu masih meneroka kesemua opsyen, termasuk aspek teknologi bagi membangunkan loji LNG yang akan berharga kompetitif berbanding dengan pengeluar-pengeluar lain di Amerika Utara,” katanya.

Petronas merupakan pengeksport LNG ketiga terbesar di dunia (selepas Qatar dan Australia).

Secara tradisinya, Petronas menjual LNG kepada pelanggan di Timur Jauh dan sedang mengintai peluang di Asia Barat serta Asia Selatan.

“Potensi perniagaan LNG di China adalah sangat besar dan Petronas melihatnya sebagai satu pasaran yang penting dan Petronas buat masa sekarang, membekalkan kepada Shanghai LNG.

“Selain China, pasaran tradisional LNG kami ialah Jepun, Korea, Taiwan serta pasaran baharu muncul seperti Bangladesh, Pakistan dan India. Secara ringkasnya, mendapatkan pasaran lumayan memang sentiasa menjadi objektif kami,” katanya.

Ditanya mengenai sumbangan Petronas kepada pemotongan bekalan minyak global, Wan Zulkiflee berkata, syarikat itu adalah komited untuk memotong 20,000 tong dan jika perjanjian itu dilanjutkan, Petronas akan mengekalkan jumlah yang sama. – BERNAMA