Pengerusi LingLong Tire, Wang Feng berkata, syarikat berkenaan mempunyai sembilan cawangan di Malaysia dengan cawangan terbaharu di Seremban merupakan cawangan terbesar.

Katanya, Linglong juga mempunyai lebih 1,300 wakil jualan serata negara yang menyediakan perkhidmatan dan produk terbaik kepada pasaran Malaysia.

Jelas beliau, Linglong yang mula bertapak di Malaysia 10 tahun lalu hasil kerjasama de­ngan syarikat tempatan iaitu, Greatwall Tyre Group memperuntukkan kira-kira RM1 juta tahun ini bagi proses pengembangan melibatkan pengiklanan, penjenamaan dan pembukaan cawangan baharu.

“Rantau ASEAN amat penting kepada pertumbuhan syarikat dan kami ingin menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran disebabkan hubungan erat yang telah terjalin melibatkan Malaysia dan China.

“Kami kini sedang memfokuskan kepada strategi memantapkan jenama ini dalam pasaran Malaysia dan akan mendapatkan sijil daripada SIRIM Berhad selaras dengan pelan pengemba­ngan syarikat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran rasmi LingLong Tire di Malaysia di sini Jumaat lalu.

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Penasihat Perdana Menteri bagi Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Dr. M. Kayveas.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Greatwall Tyre Group, Toh Chee Wui; Pengerusi Edko Sdn. Bhd., Datuk Abdul Razak Dawood dan Presiden Persatuan Operator Teksi Selangor dan Wilayah Persekutuan, Datuk Aslah Abdullah.