Pemain berusia 25 tahun itu bangkit daripada tewas pada set pertama sebelum menundukkan pemain remaja Belarus, Azarenka 4-6, 6-3, 6-4 pada perlawanan akhir.

Ini merupakan kejuaraan kedua yang dirangkul oleh Li Na dalam Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) sejak menyertai siri pertandingan pada tahun 2000.

Gelaran WTA pertama yang dimenanginya adalah pada 2004, yang mana dia muncul juara kejohanan di Guangzhou, China.

Li Na turut bermula baik pada awal tahun 2007 apabila melangkah ke suku akhir atau peringkat yang lebih baik dalam lima daripada 13 kejohanan yang disertai.

Bagaimanapun, rentak positif itu tersekat pada separuh musim selepas dia patah pergelangan tangan kanan, dan terpaksa melupakan saingan sehingga akhir tahun.

Bagi Li Na, dia tidak pernah meragui kemampuannya untuk pulih kerana dia tahu dia seorang ‘wanita yang kuat’ dan sambil berjenaka pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia mungkin sudah ditakdirkan untuk memenangi kejohanan pertama yang disertainya sebaik kembali daripada kecederaan.

‘‘Mungkin tuhan berkata, gadis ini telah berehat selama empat bulan, dan dia tidak pernah meraih sebarang hadiah sepanjang tempoh itu,’’ katanya berseloroh.

Li Na berjaya mengalahkan tiga pemain pilihan dalam laluannya ke perlawanan akhir, termasuk pemain nombor 12 dunia, Nicole Vaidisova dan juara dua kali, Patty Schnyde.

Prestasi tersebut pasti memberi keyakinan tambahan buat pemain itu sebelum membawa cabaran China yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini.

– AFP