“Tugas saya bukan meman­dang ke belakang tetapi saya akan bekerja siang dan malam untuk memastikan Proton benar-benar berjaya,’’ kata Chunrong, 52, yang memiliki 30 tahun pengalaman dalam industri automotif merangkumi syarikat automotif Honda, Kia dan Dongfeng.

Nama beliau yang sememang­nya sudah diuar-uar meluas berikutan laporan media China awal bulan ini, bakal memulakan tugasnya berkuat kuasa 1 Oktober ini.

“Saya telah dicalonkan oleh DRB-Hicom dan Geely Holding untuk memulihkan Proton dan saya percaya jenama kereta Malaysia ini tidak lama lagi akan menjadi jenama domestik nombor satu, dan sebuah jenama terkemuka di ASEAN.

“Untuk mencapai wawasan ini, Proton kini memiliki akses kepada sinergi global, kepakaran dan sokongan kewangan yang diperlukan daripada Kumpulan Geely. Saya berkeyakinan penuh Proton akan meraih masa depan yang baik.

“Bila ditanya apa strategi utama saya? Jawapan saya ialah mencapai ‘kepuasan pelanggan’ menerusi produk kereta yang mereka mahukan,’’ katanya pada sidang akhbar bersama DRB-Hicom dan Geely di sini hari ini.

Dr. Li bakal bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi Proton, membabitkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti dan, penyelidikan dan pembangunan, serta penjualan dan pemasaran.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif sedia ada, Datuk Radzaif Mohammed akan kekal bersama Dr. Li mengetuai pelan pemulihan untuk Proton.

Dr. Li menggantikan tempat Datuk Ahmad Fuaad Kenali yang bakal mengambil alih jawatan CEO Malakof.

PONSB merupakan syarikat di dalam Kumpulan Proton Holdings Berhad, yang ditubuhkan khusus bagi pengurusan baharu Proton di bawah pakatan strategik Proton dengan Zhejiang Geely Holdings yang membeli 49.9 peratus saham DRB-Hicom di dalam Proton pada 23 Jun lalu.

Pada sidang akhbar tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom. Datuk Sri Syed Faisal Albar semasa mengumumkan Dr. Li berkata, CEO baharu itu akan memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan baharu untuk Proton.

“Kenderaan pertama hasil usaha sama ini merupakan SUV bersaiz sederhana iaitu Geely Boyue, iaitu kali pertama Proton mema­suki segmen ini,’’ ujar beliau.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely, Daniel Donghui Li berkata, kunci kepada kejayaan Proton ialah produk kereta yang ditawarkan kelak.

Beliau menegaskan Geely akan memberi sokongan padu untuk kejayaan Proton, termasuk de­ngan menawarkan sumber-sumber dari Volvo yang dimiliki syarikat China itu serta bekalan enjin baharu yang memenuhi piawaian pelepasan asap Euro 6, enjin hibrid dan elektrik sepenuhnya.

Menjawab soalan pemberita, Chunrong berkata, untuk tempoh 14 bulan akan datang, Proton tidak akan memperkenalkan produk kereta baharu sebaliknya memberi perhatian kepada langkah memuaskan hati para pelanggan.

Sementara itu, Syed Faisal berkata, pihaknya menyasarkan Proton untuk kembali mencatat keuntungan dalam tempoh lima tahun akan datang dan menyasarkan tempoh 10 tahun untuk menjadikan Proton jenama terbesar di Asia.

Mengenai produk kereta Geely ditukar kepada Proton, beliau berkata, ia mengambil masa untuk menukar kenderaan Geely yang menggunakan pemanduan kiri kepada kanan.