Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, menerusi anak syarikatnya iaitu Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd., rawatan baharu tersebut akan dijual pada harga AS$300 (RM1,258) buat sektor awam di Malaysia.

“Dianggarkan terdapat sekitar 450,000 orang yang hidup dengan Hepatitis C di Malaysia, namun sebahagian besar daripada mereka tidak mendapat akses kepada rawatan yang berkesan kerana harganya yang sangat tinggi.

“Perjanjian ini membolehkan akses kepada alternatif yang lebih murah untuk pesakit di Malaysia. Kami berbangga kerana dapat memulakan kerjasama ini yang mustahil dilaksanakan tanpa sokongan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, DNDi sedang menjalankan ujian klinikal di enam buah hospital untuk menguji rawatan pan-genotypic menggabungkan ubat ravidasvir daripada Pharco dengan ubat Hepatitis C sedia ada, sofosbuvir.

Keputusan pertama dijangka diketahui pada awal tahun depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada September lalu telah memberi lesen pengimportan sofosbuvir sekali gus menjadikan harganya lebih berpatutan di pasaran dalam negara.

Sementara itu, Ketua DNDi Asia Tenggara, Jean-Michel Piegadnel berkata, pihaknya memuji usaha dan komitmen kerajaan Malaysia dalam menyediakan akses yang berpatutan kepada rawatan yang selamat dan berkesan untuk Hepatitis C.

Ketua Pegawai Eksekutif Pharco, Dr. Sherine Helmy pula berharap, kerjasama itu akan memberikan akses kepada rawatan yang selamat dan berkesan serta boleh didapati untuk semua pesakit di Malaysia dan rantau ini.

Ketika ini, rawatan Hepatitis C selama 12 minggu boleh didapati dengan harga AS$70,000 (RM293,475). Bagaimanapun, kos rawatan dijangka berkurangan 100 peratus dengan gabungan sofosbuvir dan ravidasvir.

Fakta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):

  • Hepatitis C penyakit hati disebabkan oleh virus hepatitis C yang boleh menyebabkan penyakit kronik sehingga membawa maut atau hanya jangkitan yang menyebabkan kesakitan jangka pendek sekitar seminggu atau sakit berpanjangan seumur hidup.
  •  Virus hepatitis adalah virus di dalam darah dan biasanya jangkitan berlaku daripada penggunaan jarum suntikan bagi penagih dadah, juga pemindahan darah yang tidak disaring dengan betul.
  • Seluruh dunia dianggarkan seramai 71 juta orang telah dijangkiti penyakit tersebut.
  • Jangkitan virus berkenaan boleh menyebabkan sirosis iaitu hati menjadi keras dan kanser hati.
  • Dianggarkan 399,000 orang meninggal dunia setiap tahun berpunca daripada virus hepatitis C.
  • Rawatan awal dapat menyembuhkan 95 peratus pesakit hepatitis C, sekali gus mengurangkan risiko sirosis dan kanser hati.

- UTUSAN ONLINE