Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, ketika ini sebanyak 1,972 PKS telah mengambil bahagian.

Katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan para usahawan untuk terlibat sama dengan DFTZ dan tidak pernah menghadkan penyertaan mereka.

“Antara kelebihan menyertai DFTZ adalah mereka dapat memanfaatkan kadar tukaran kewangan yang lebih baik dan perkongsian perisian yang boleh mengesan produk serta kehendak sebenar pasaran yang diteroka.

“Jika PKS mahu mengeksport sendiri produk sudah pasti akan melibatkan banyak proses dan kertas kerja. Namun, dengan menyertai DFTZ beban tersebut dapat dikurangkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MIA, Salihin Abang, Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr. Nurmazilah Mahzan dan Pengerusi Penganjur Persidangan Akauntan Antarabangsa, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Tee Yong menambah, MIA boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan PKS menyertai DFTZ dengan menyediakan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah.

Menurut beliau, buat masa ini tiada pusat data yang menunjukkan perincian sesebuah syarikat yang telah menjalankan eksport.

“MIA boleh menyediakan khidmat nasihat kepada pelanggan untuk melihat pertumbuhan produk dan kualiti, pengembangan eksport serta menggalakkan para usahawan untuk menghubungi agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” ujarnya.