Kajian berkenaan dijalankan oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Institut Penyelidikan Malaysia mengenai Penuaan (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap 1,600 responden.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, antara nasihat kewangan yang diperlukan ialah berkaitan pelan pelaburan selain simpanan deposit sedia ada.

Katanya, ini menunjukkan kesedaran dalam ka­langan rakyat di negara ini terutama kakitangan kerajaan supaya tidak bergantung kepada pencen semata-mata.

“Cabaran persaraan termasuk kos penjagaan kesihatan yang meningkat dan ketidaktentuan ekonomi global memerlukan orang ramai untuk memiliki pelan persaraan yang baik.

“KWAP dan MyAgeing akan memperluaskan lagi kajian supaya dapat melengkapkan peranan kami dalam menawarkan inisiatif buat para pesara,” katanya pada majlis pembentangan kajian KWAP-MyAgeing di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Projek kajian berkenaan, Prof. Dr. Tengku Aizan Hamid berkata, ramai pekerja sektor awam tidak pasti akan langkah yang perlu diambil sebelum bersara dan dalam masa sama tidak mengamalkan gaya hidup yang betul sejak usia awal lagi.

Beliau yang juga Pengarah MyAgeing berkata, kira-kira 10 peratus daripada 1,600 responden prapersaraan tersebut menghidapi masalah kesihatan seperti hipertensi, diabetes dan kolesterol yang tinggi.

“Rata-rata responden bersedia dengan keperluan keluarga dan sosial mereka tetapi kurang dari aspek kewangan dan kesihatan.

“Hasil kajian ini bertujuan memperlihatkan situasi semasa dan diberikan kepada pembuat dasar,” katanya.