Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, rundingan lanjut berhubung cadangan itu sedang dilakukan antara kerajaan negeri dengan syarikat berkenaan.

Namun, beliau tidak dapat mendedahkan di mana lokasi LCCT itu akan dibina kerana pendedahan tersebut boleh menyebabkan harga tanah yang dipilih untuk pembinaan nanti melambung tinggi.

“Kita (kerajaan negeri) sedang meneliti keuntungan bakal diperoleh jika cadangan itu dilaksanakan. Jika menjadi kenyataan, ber­­makna kita akan bekerjasama dengan pihak terlibat (AirAsia),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Dialog Sarawak 2018 di di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd. Morshidi Ghani dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Mengulas lanjut cadangan pembinaan LCCT berkenaan, Abang Johari berkata, ketika ini lokasi bagi tapak pembinaan lapangan terbang terbabit telah dikenal pasti.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju mempertimbangkan cadangan AirAsia itu, selaras de­ngan impian Fernandes yang mahu Kuching menjadi hab penerbangan murah di rantau ini.

“Kita menyambut baik cada­ngan ini kerana bagi pihak kita, semakin banyak pelancong datang, maka semakin banyak medan selera dibuka, hotel laris dan industri kotej berkembang,” ujarnya.

Sementara itu, Fernandes mem­­beritahu, pihaknya telah me­ngadakan rundingan dengan Setia­usaha Kerajaan Negeri berhubung cadang­an tersebut, malah sudah menyiapkan reka bentuk lapangan terbang berkenaan.

Beliau berkata, AirAsia cukup yakin pembinaan LCCT di Kuching akan membolehkan bandar raya ini menjadi hab penerbangan di rantau Asia terutama melibatkan kemasukan pelancong dari Australia, Taiwan dan China, di samping membantu pihaknya merendahkan harga tambang penerbangan.

Tambahnya, ketika ini pihaknya cuma menunggu ‘lampu hijau’ daripada kerajaan negeri untuk memulakan pembinaan LCCT berkenaan.

“Sarawak merupakan lokasi yang strategik kerana boleh menjadi hab persinggahan pelancong dari Australia ke Dubai atau China, Korea dan Jepun,” ujarnya.