Malah, jika dilihat daripada tipikal wajah penduduk di sini juga rata-rata mempunyai persamaan dengan rakyat negara terbabit.

Kali ini, perjalanan Pasport UtusanBiz bermula dari sebuah bandar kecil Tallin, Estonia ke Riga iaitu ibu negara Latvia.

Perjalanan tidaklah begitu panjang. Hanya mengambil masa kira-kira lima jam sahaja dengan menggunakan bas. Malah ia lebih ‘menghiburkan’ dengan pemandangan, kere­nah dan ragam masyarakat di sepanjang perjalanan.

Antara yang menarik perhatian apabila melintasi satu kawasan (seluas 50 padang bola sepak) yang dipenuhi warna kuning disebabkan pokok (tidak diketahui nama) yang ditanam di kawasan terbabit yang merupakan punca pendapatan mereka bagi menghasilkan minyak.

Di samping itu, Pasport UtusanBiz masih ingat ada satu ketika sewaktu dalam perjalanan ke negara bersejarah ini begitu mencabar dan lucu disebabkan rata-rata penduduk tidak pandai berbahasa Inggeris serta beberapa kemudahan mereka lebih ‘canggih’ lain daripada yang lain.

Seperti mana yang diduga, sewaktu dalam perjalanan tersebut, Pasport UtusanBiz dikerumuni penumpang lain hanya kerana salah faham dan dilayan dengan agak kasar kerana cuba bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penumpang.

Namun, itu mungkin cara atau budaya mereka yang sudah tentu menjadi salah satu pengalaman dan kenangan indah kepada pengembara.

Sewaktu tiba di sini, Pasport UtusanBiz turut berpeluang melihat penduduk Latvia me­nyambut perayaan ‘Jani’ bagi memperingati salah satu tradisi agama Pagan sebelum tersebarnya agama Kristian.

Perayaan ‘Jani’ merupakan sambutan sempena musim panas yang disambut pada bulan Jun dan kebanyakan kereta serta penduduk dipakaikan de­ngan daun atau bunga.

Cuma Pasport UtusanBiz hanya sekadar melihat dari jauh dan tidak sempat untuk bersama-sama mereka meraikan atau bertanya dengan lebih lanjut tentang perayaan berkenaan.

Dalam pada itu, Latvia yang memperoleh kemerdekaan pada tahun 1991 dari Rusia menggunakan mata wang Euro dengan mengikut kadar tukaran wang semasa adalah 1 Euro bersamaan RM4.70 sen

Sekali lagi Pasport UtusanBiz menasihati pembaca usah bimbang dengan perbelanjaan harian kerana harga barangan di sini tidak semahal di negara Eropah lain seperti United Kingdom (UK) Jerman atau Belanda.

Maka tidak hairanlah banyak pelancong dari negara terbabit datang ke sini untuk bercuti dan meluaskan empayar perniagaan mereka.

Di Latvia, Pasport UtusanBiz tinggal selama lima hari dan hanya menghabiskan banyak masa di Riga sahaja. Bandar ini tidaklah besar tetapi agak cantik terutama pada waktu malam.

Tempoh masa lima hari sebenarnya agak panjang. Dua jam sudah cukup sebenarnya untuk menjelajah dan menero­kai Riga. Tetapi ia mungkin mengambil masa yang lebih lama jika anda merupakan jurugambar kerana begitu ba­nyak tempat menarik di sini

Sementara itu untuk kos perbelanjaan keseluruhan termasuk penginapan pula, ia sebenarnya bergantung kepada individu. Jika ada yang mahu tinggal di hostel atau AirBnB, bayaran yang dikenakan antara RM50 sehingga RM300 bergantung kepada kemudahan, jarak serta keselesaan.

Satu perkara menarik di sini adalah harga makanan juga tidaklah mahal. Sebagai contoh buah-buahan seperti epal atau delima hanya sekitar antara 1 hingga 3 Euro sekilogram.

Anda perlu berkunjung ke ‘Riga Central Market’ iaitu salah sebuah pasar terbesar di Eropah Timur dengan kedudukan strategik terletak berhampiran dengan stesen bas untuk mendapatkan harga sedemikian.