Bekas Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA), Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd Kassim berkata, walaupun tindakan menyebabkan kerajaan menanggung kos yang tinggi tetapi langkah itu wajar dilaksanakan berdasarkan kemampuan kewangan yang ada.

“Kita tidak perlu menunggu seperti apa yang menimpa Greece apabila berlakunya krisis kewangan.

“Oleh sebab itu, pembuangan pekerja perlu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan menawarkan pelbagai insentif berbanding melakukannya secara tiba-tiba (memotong gaji dan pencen) apabila dilanda krisis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi penceramah sesi panel yang membincangkan Evolusi Perkhidmatan Awam di Malaysia - Dahulu, Sekarang dan Akan Datang pada Forum MEA: Tadbir Urus Ekonomi - Tadbir Urus Sektor Awam di sini hari ini.

Mohd. Sheriff
Mohd. Sheriff

Forum kali ketiga itu diadakan bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kerangka kerja tadbir urus untuk sektor awam.

Mohd. Sheriff yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk mengurangkan lambakan kakitangan dalam perkhidmatan awam sekiranya mahu mencapai kadar defisit pada tiga peratus.

“Untuk melaksanakan perkara ini secara berperingkat, Parlimen boleh mewujudkan jawatankuasa untuk memantau prestasi pegawai atasan kerajaan dan memberi mereka keupayaan untuk memberhentikan pegawai-pegawai ini jika gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Setakat ini, Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah penduduk yang tertinggi di Asia Pasifik, seramai 1.6 juta orang mewakili 11 peratus daripada tenaga kerja di negara ini.

Malaysia dijangka membelanjakan sebanyak RM76 bilion untuk gaji dan elaun bagi perkhidmatan awam pada tahun ini, dengan RM21 bilion untuk bayaran pencen.

Sementara itu, Presiden MEA, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, terdapat beberapa sektor yang memerlukan jumlah pekerja lebih ramai terutama dalam sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Untuk sektor yang perlu dikurangkan ialah kakitangan pentadbiran kerana mempunyai sistem teknologi maklumat yang lebih efisien dan kita juga perlu ke arah kerajaan elektronik pada masa depan,” katanya.