-
 

Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Lafarge, Thierry Legrand berkata, perjanjian ter­sebut menyaksikan Lafarge akan membekalkan simen bermula sekarang sehingga 31 Disember 2019 kepada kesemua lapan pakej kerja bagi projek berkenaan.

Katanya, perjanjian itu boleh diperbaharui untuk tempoh dua tahun lagi tertakluk kepada terma pembaharuan dan syarat yang dipersetujui bersama.

“Perjanjian ini menandakan satu peristiwa penting dalam hubungan antara Lafarge dan CCC. Kami berbesar hati di atas kepercayaan yang diberikan bagi menjadi se­bahagian daripada projek ini.

“Kami juga komited untuk bekerjasama rapat dengan CCC bagi menyokong keperluan infrastruktur di negara ini,” kata­nya dalam kenyataan di sini h­ari ini.

Pada 9 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan majlis pecah tanah projek ECRL yang menandakan bermula­nya projek mega yang menjadi pencetus perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan kos kira-kira RM55 bilion dan bakal menghubungkan Lembah Klang dan Pengkalan Kubor Kelantan.

Pembinaan ECRL akan me­rangkumi dua fasa dengan fasa pertama bermula dari Gombak, Selangor ke Kota Bharu Kelantan dan fasa kedua bermula dari Gombak utara ke Pelabuhan Klang, Selangor dan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, Kelantan.