Menurut TNB, projek LSS itu menyaksikan kerja yang lancar dan mampu menjana kapasiti penuh sebanyak 50 megawat (MW) sebelum akhir tahun.

Katanya, loji dengan 230,000 panel solar dan gentian kabel optik sepanjang 10 kilometer (km) dengan kuasa 132 kilovolt (kV) adalah projek LSS pertama terbesar Malaysia setakat ini.

“Projek yang bermula sejak Julai 2017 ini dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Sepang Solar Sdn. Bhd. di atas tanah seluas 98 hektar.

“Sementara itu, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. merupakan rakan kerjasama kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi projek LSS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek LSS adalah bukti aspirasi dan komitmen TNB ke arah pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

Ia juga mencerminkan kecekapan dan kepakaran TNB dalam RE serta memiliki reputasi sebagai pemaju projek tenaga.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menetapkan sasaran sebanyak 20 peratus daripada tenaga elektrik negara akan dijana menerusi sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.

Kira-kira 53 peratus penjanaan kuasa di Semenanjung adalah daripada arang batu manakala 42 peratus daripada gas asli dan lima peratus adalah hidro dan berbentuk RE.