AMEER ALI MYDIN
AMEER ALI MYDIN

Pengarah Urusan Mydin, Datuk (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, walaupun segmen pasaran runcit terutama pasar raya ‘agak suram’ pada tahun lalu, namun ia tetap merupakan masa dan peluang terbaik bagi syarikat untuk mengembangkan perniagaan.

Katanya, pembukaan pasar raya membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan sekali gus dapat membantu ekonomi berkembang dengan baik.

“Kebiasaannya, kita membina empat hingga lima pasar raya dalam setahun tetapi dengan mengambil kira keadaan pasaran, kita hanya membina dua sahaja atau paling banyak tiga pasar raya dalam setahun.

“Bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan kita hanya untuk membuka pasar raya besar sahaja dan kita setakat ini mempunyai 25 pasar raya besar di seluruh negara,” katanya di sini baru-baru ini.

Dua daripada pasar raya itu di Johor dan Kuching mempunyai GDV masing-masing sebanyak RM250 juta dan yang bersaiz sederhana di Jengka, Pahang dengan GDV RM100 juta.

Kesemua pasar raya itu akan dibina di tanah milik Mydin di seluruh negara yang merupakan sebahagian daripada perancangan Mydin dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut laporan Retail Group Malaysia (RGM) yang dikeluarkan November lalu, jualan bagi industri runcit tempatan menguncup 1.1 peratus pada suku ketiga tahun in disebabkan kuasa beli rakyat Malaysia yang semakin terhakis. RGM turut menyemak semula pertumbuhan jualan runcit buat kali ketiga kepada 2.2 peratus berbanding 3.7 peratus tahun ini.

Disember lalu, Ameer Ali turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend penurunan tersebut apatah lagi pasar raya dibuka bagi memenuhi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, laporan tersebut mungkin tidak tepat kerana ia hanya berpusat kepada rangkaian pusat beli-belah dan rangkaian pasar raya dan tidak merangkumi faktor-faktor lain, antaranya peningkatan platform e-dagang yang turut memberi kesan kepada prestasi pasaran runcit.

Mydin mula dibuka pada 1957 di sebuah kedai kayu yang kecil di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu, Kelantan kini berkembang sehingga mempunyai 145 cawangan di seluruh negara.

Kesemua cawangannya mempunyai sembilan format perniagaan yang berbeza terdiri daripada 25 pasar raya besar, 24 pusat beli-belah, sembilan pasar raya, 17 emporium, tiga bazar, 40 MyMydin, lima Mydin Mart, 12 MyMart, lima pasar raya premium (SAM Groceria) dan lima gudang.

Awal Disember lalu, Mydin membuka cawangan emporium ke-17 di Jalan Masjid India, terletak bertentangan dengan cawangan pertama Mydin di Lembah Klang yang dibuka 30 tahun lalu.

Antara pembaharuan yang dilaksanakan Mydin sepanjang 2017 termasuklah memperkenalkan perkhid­-
matan dalam talian mulai Oktober lalu dikenali Mydin Online, Klik & Pick dan kemudiannya Perlindungan Takaful iMeriah dengan kerjasama AmMetLife Takaful Berhad.