Bulan Mei merupakan satu bulan yang ditakuti oleh setiap pelabur dan pedagang saham hampir di seluruh dunia termasuk pelabur dan pedagang saham di Malaysia. Tetapi seperti yang pernah saya katakan dahulu, kadang-kala ia tidak terjadi pada setiap tahun disebabkan faktor-faktor yang menghalang terjadinya fenomena bulan Mei ini.

Setakat ini, 2017 merupakan tahun yang sangat baik bagi pelabur dan pedagang saham berbanding tiga tahun kebe­lakangan. Jika kita melihat perkembangan dunia saham, ramai pelabur dan pedagang saham meraih keuntungan yang banyak dalam tahun ini.

Dan pada masa yang sama juga, semakin banyak munculnya seminar-seminar saham yang mencanangkan di iklan tentang keuntungan saham yang boleh memberikan pula­ngan pelaburan mencecah sehingga 100 peratus.

Juga, ada dakwaan yang mengatakan pelaburan saham itu lebih baik daripada lain-lain bentuk pelaburan atau simpa­nan jangka panjang seperti unit amanah dan sebagainya.

Di sini saya ingin membetulkan persepsi atau tanggapan tentang pelaburan saham. Setiap pelaburan mempunyai risiko. Ada yang berisiko tinggi dan ada yang berisiko rendah.

Dan setiap pelaburan yang ingin dibuat perlu adanya kaji selidik dan modal yang mencukupi supaya tidak menjejaskan perbelanjaan seharian atau tabungan kecemasan.

Perlu diingatkan juga, ilmu-ilmu pelaburan itu tidak semestinya boleh difahami oleh semua orang lebih-lebih lagi ilmu teknikal dan matematik.

Dalam konsep pasaran saham, ilmu analisis teknikal dan fundamental yang juga melibatkan perkiraan kadang-kala tidak dapat difahami atau dikuasai sepenuhnya oleh pelabur dan pedagang saham. Maka, ia menyukarkan seseorang itu membeli sesuatu saham syarikat dengan pilihan yang betul.

Maka, kepada mereka yang tidak dapat menguasai ilmu saham dengan baik tidak perlu dipaksa untuk melabur di dalam pasaran saham, sebaliknya boleh melabur di instrumen lain ataupun dengan cara memohon saham terbitan permulaan atau IPO.

Sebagai contoh, tidak ramai orang yang berani menghadapi risiko rugi atau harga saham jatuh, maka adalah lebih baik jika dia meletakkan modal di tempat yang kurang risiko dan selamat. Contohnya di unit amanah saham bumiputera atau simpanan di Tabung Haji.

Kepada yang berani menghadapi risiko turun naik harga saham serta dapat menguasai ilmu-ilmu berkaitan pasaran saham dengan baik, maka sememangnya digalakkan untuk menceburi bidang saham secara aktif memandangkan kenaikan harga saham boleh mencecah 60 peratus dalam sehari daga­ngan Bursa Malaysia.

Cara yang terbaik yang boleh saya syorkan ialah membuat kedua-dua pelaburan jangka pendek dan panjang. Jangka pendek ialah membuat jual beli saham secara harian, mingguan atau bulanan.

Sekiranya kita meraih keun­tungan, ambil keuntungan ter­sebut untuk digunakan sebagai perbelanjaan harian dan sedikit bahagian pula sebagai simpa­nan untuk jangka panjang. Contohnya simpanan ke dalam Tabung Haji atau unit amanah saham bumiputera kerana sangat selamat dan dijamin oleh kerajaan.

Melabur atau berdagang saham juga perlu ada matlamat. Matlamat untuk meraih keuntungan yang boleh digunakan sebagai menampung sebahagian perbelanjaan seharian serta menambah atau mengembangkan simpanan atau tabungan yang sedia ada untuk hari depan.

Saya ada menyatakan keperluan untuk mengeluarkan sebahagian keuntungan saham. Kenapa saya mengesyorkan untuk mengeluarkan sebahagian atau kesemua keuntungan saham yang telah diperoleh? Kenapa tidak dibiarkan sahaja untuk kita membuat pelaburan yang lebih besar?

Oleh kerana pasaran saham merupakan satu pergerakan turun naik dan dipengaruhi oleh beberapa faktor, maka bila-bila masa sahaja pasaran saham berhadapan dengan kejatuhan.

Kadang-kala kejatuhan tersebut tidak dapat dijangka atau terjadi dengan tiba-tiba. Sekiranya kita ketahui, kemungkinan berita yang kita terima itu sudah lewat dan harga saham telah jatuh dengan banyak.

Sekiranya kita mempunyai modal yang semakin besar, ini akan mendorong seseorang itu membeli dengan kuantiti yang lebih besar daripada sebelum­nya dan sifat tamak akan wujud dalam diri mereka.

Keputusan yang dibuat bia­sanya akan menjadi tidak rasional disebabkan mereka se­akan-akan memaksa diri untuk membuat keuntungan yang lebih besar dan beranggapan bahawa pasaran saham akan sentiasa naik.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan untuk ketahui bagaimana membuat keuntu­ngan jangka pendek, pelaburan dan simpanan jangka panjang.