Ketua Pegawai Ek­sekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, penubuhan sebuah syarikat khas (SPV) itu susulan prospek hartanah yang cerah dan boleh memberi pulangan lebih baik.

Katanya, SPV berkenaan akan melaksanakan pembangunan projek-projek hartanah di tanah milik KWAP yang terletak di Lembah Klang dan Gurney Drive, Pulau Pinang.

Jelas beliau, KWAP membeli sebanyak 20 peratus daripada 307 hektar projek fasa kedua Seri Tanjung Pinang, yang dibangunkan oleh Eastern & Oriental Bhd. (E&O) sebanyak RM766.02 juta.

“Pemilikan tanah dijangka selesai pada September ini, justeru projek pembangun bercampur di Seri Tanjung Pinang dijangka boleh bermula pada awal 2018.

“Hubungan kerjasama dengan E&O adalah menarik dan menandakan penyertaan ekuiti pertama kami dalam pembangunan hartanah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selain memiliki aset hartanah di dalam negara, KWAP turut memiliki tujuh hartanah di Australia, dua di United Kingdom dan satu di Jerman.

Dalam masa sama, Wan Ka­maruzaman berkata, KWAP mencari rakan kerjasama dengan syarikat pemaju hartanah yang memiliki tanah tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi.

“KWAP bersedia bekerjasama dengan menyuntik dana ter­utamanya projek di Lembah Klang dan tidak menolak kemungkinan projek di luar kawasan itu,” katanya.

KWAP ditubuhkan pada 1 Mac 2007 yang berperanan bagi meraih pulangan pelaburan untuk membantu Kerajaan Persekutuan membiayai liabiliti pencen.

Setakat akhir Jun lalu, saiz aset KWAP mencecah RM134 bilion dan menyasarkan untuk mengembangkan asetnya seba­nyak RM10 bilion setiap tahun.

“KWAP yakin dengan pertumbuhan lapan hingga 10 peratus setahun, dana KWAP akan berjaya mencapai angka RM500 bilion pada tahun 2050,” katanya.