Kumpulan Utusan berkata, ini disebabkan peningkatan perolehan sebanyak 74 peratus yang disumbang terutamanya oleh keuntungan daripada penjualan hartanah, serta peningkatan perolehan dalam talian yang dijana daripada projek pembekalan tablet kepada guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, penjualan hartanah tersebut adalah berkaitan dengan satu projek usahasama dengan pihak luar yang dimeterai pada tahun 2011 di mana Kumpulan Utusan bersetuju menyerahkan tanah tersebut untuk dibangunkan dan sebagai balasan Kumpulan mendapat lebih kurang 30 peratus daripada projek pembangunan tersebut yang telah siap dalam suku ketiga 2017.

“Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2017, Kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.2 juta, lebih rendah berbanding kerugian RM59 juta tahun sebelumnya.

“Ini hasil daripada peningkatan perolehan sebanyak RM25.4 juta serta strategi rasionalisasi kos yang menyaksikan kos operasi susut sebanyak 13 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumpulan Utusan berkata, ia akan terus mempelbagaikan cabang perniagaan di samping meneruskan usaha mengawal kos operasi untuk memastikan prestasi tahun 2017 lebih baik dari tahun sebelumnya.

“Perbincangan dengan rakan-rakan strategik sedang giat dibuat untuk merealisasikan harapan Kumpulan untuk menceburi perniagaan-perniagaan baharu yang telah dikenal pasti,” katanya.