Inter Mark Resources adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan bagi cadangan pembelian berkenaan dan satu daripada pemegang saham utama syarikat itu yang juga pengarahnya adalah Ang Choon Yan, pengasas beberapa jenama rangkaian makanan dan minuman (F&B) seperti The Manhattan Fish Market.

Menurut KUB, jumlah itu meliputi sebanyak RM30 juta bagi keseluruhan kepentingan ekuiti A&W Malaysia dan RM4 juta untuk pembayaran balik baki antara syarikat.

RKSB, anak syarikat milik KUB bersetuju untuk melupuskan sebanyak 61,406.092 saham yang diterbitkan yang mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti di dalam A&W Malaysia kepada IMRSB.

“Setelah cadangan penjualan ini selesai, A&W Malaysia akan terhenti menjadi anak syarikat RKSB,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Sehingga 31 Mei 2018, aset bersih A&W Malaysia berjumlah RM11.1 juta.

Cadangan pelupusan dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dengan pilihan lanjutan tiga bulan dari tarikh perjanjian.

KUB pada Jun lalu, optimis bakal memuktamad penjualan 100 peratus pegangan unit F&B, A&W Malaysia selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin berkata, kira-kira 11 syarikat tempatan dan antarabangsa telah berjumpa dengan pihaknya menyatakan minat untuk mengambil alih A&W Malaysia.

Beliau yang mengakui proses mencari pembeli bersesuaian itu mengambil masa agak lama berikutan faktor penilaian dan pembayaran termasuk soal caj pemindahan pegangan dan lain-lain.