Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin berkata, tanah yang dibeli daripada Kwantas Plantation Sdn. Bhd. itu bernilai kira-kira RM100.4 juta dan diambil alih melalui anak syarikat milik penuhnya, KUB Malua Plantation Sdn. Bhd. (KUB Malua).

Menurutnya, tanah seluas 1,534 hektar itu dibeli oleh syarikat sejajar dengan strategi kumpulan yang mahu menambah pendapatan, sekali gus melaksanakan pertumbuhan dalam sektor perladangan terutama meningkatkan bank tanah seluas 10,000 hektar pada masa akan datang.

"Buat masa ini, jumlah bank tanah pertanian yang dimiliki ialah seluas 7,332. Dengan adanya penambahan tanah kelapa sawit ini dijangka meningkatkan pendapatan kerana ia mempunyai profil hasil yang kukuh melebihi 20 tan bagi satu hektar.

"Kita berterima kasih kepada pemegang saham kerana bersetuju dengan pengambil alihan ini. Bagaimanapun, setakat ini, kita belum lagi mempunyai sebarang perancangan membeli tanah lain dan memberi fokus program penanaman semula tanah seluas 100 hingga 200 hektar di Kluang bermula tahun ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas hadir ke Mesyuarat Agung Luar Biasa bersama pemegang saham di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini yang turut dihadiri Pengerusi KUB, Datuk Ahmad Ibnihajar dan Pengarah Urusan KUB, Datuk Jamelah A. Bakar.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pembukaan restoran makanan segera A&W, Abdul Rahim berkata, syarikat bakal menambah beberapa cawangan bagi mengembangkan lagi perniagaan dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B).

"Buat masa ini, kita mempunyai 35 buah cawangan dan memfokuskan untuk menambah 17 lagi cawangan untuk tempoh dua tahun lagi.

"Terdapat beberapa kawasan yang syarikat masih menunggu kelulusan daripada pemilik tanah yang sedang membangunkannya dan berharap mereka dapat memberi keputusan memberangsangkan," ujarnya.