Penganalisis MIDF Research, Imran Yassin Yusof berkata, jumlah deposit meningkat 1.1 peratus dari tahun ke tahun kepada RM41.6 bilion, sementara deposit pelanggan dan akaun pelaburan (CASA) juga naik dua peratus kepada RM13.8 bilion.

“Nisbah CASA dan akaun pelaburan transaksi setakat suku ketiga 2017 adalah 34.2 peratus berbanding 31.5 peratus pada suku keempat 2016,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

BIMB mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak 10.1 peratus kepada RM732.2 juta setakat 30 September 2017 berbanding RM665.1 juta tempoh sama tahun lalu.

Prestasi kukuh berkenaan di­terjemahkan kepada pulangan ke atas ekuiti tahunan (ROE) pracukai sebanyak 20.9 peratus dan ROE selepas cukai pada kadar 15.2 pe­ratus berbanding pesaing dalam industri.

Selain itu, keuntungan bersih Kumpulan kepada peme­gang saham turut melonjak 12.1 peratus atau RM50.6 juta kepada RM470.2 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurut Imran, usaha institusi berkenaan untuk memberi tum­puan kepada pengukuhan digital menuju ke hadapan juga akan memastikan kemapanan Kumpulan.

“Perolehan Kumpulan untuk sembilan bulan pertama 2017 adalah selari dengan jangkaan konsensus kami. Ia adalah 76 dan 78.4 peratus daripada anggaran tahun penuh.

“Kami mengekalkan unjuran prestasi tahun kewangan 2017 BIMB dengan harga sasaran (TP) pada RM5 berdasarkan kepada kualiti aset yang sihat serta ketahanan operasinya,” ujar beliau.