MOHD. RANI HISHAM
MOHD. RANI HISHAM

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, projek pembangunan hartanah berkenaan merupakan satu daripada inisiatif bagi meningkatkan pendapatan dalam segmen bukan pengangkutan.

Katanya, KTMB juga tidak akan terburu-buru melaksanakan projek pembangunan hartanah yang akan merangkumi konsep pembangunan berasaskan transit dan bekerjasama dengan pemaju strategik itu kerana perkara berkenaan adalah tertakluk kepada arahan pembangunan relevan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Simpanan tanah kami boleh menjana projek bernilai sehingga RM6 bilion dan buat masa ini kami sedang melihat untuk memba­ngunkan pelbagai peluang untuk tanah berdekatan dengan ste­sen kereta api kami sekali gus me­ningkatkan sumbangan pendapatan dalam segmen bukan pengangkutan.

“Sekiranya semua berjalan lancar termasuk kelulusan daripada pihak berkaitan, kami mungkin boleh memulakan projek hartanah ini se­awal tahun hadapan,” katanya kepada pemberita pada Persi­dangan Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Kereta Api ASEAN ke-39 di sini hari ini.

Persidangan tahunan selama tiga hari bertemakan ‘Kereta Api menyatukan ASEAN’ itu dianjurkan secara bersama oleh operator kereta api kebangsaan dari tujuh negara iaitu KTMB dari Malaysia, State Railway Thailand, PT Keretapi Indonesia, Kementerian Pengangkutan dan Kerja Awam Kemboja, Myanmar Railway, Lao Railway Authority dan Vietnam Railway.

Dalam masa yang sama, Mohd. Rani Hisham berkata, KTMB juga akan bertindak lebih berhati-hati dalam membangunkan projek pembangunan hartanah tersebut kerana setiap lokasi mempunyai pasaran dan citarasa berbeza.

“Kami tidak boleh membangunkan projek hartanah ini sesuka hati kerana setiap lokasi atau stesen kami mempunyai pasaran yang berbeza dan atas dasar itulah kami perlu berhati-hati dalam merangka reka bentuk setiap pembangunan,” ujar beliau.

KTMB juga sedang meneroka beberapa peluang lain untuk me­ningkatkan pendapatan bukan pe­ngangkutan terma­suk menerusi segmen pengiklanan.

Ketika ini, pendapatan daripada segmen pengangkutan KTMB dijana menerusi dua segmen perniagaan utama iaitu penumpang dan kargo.

Jelas Mohd. Rani Hisham, KTMB sukar menerima peningkatan penumpang di Lembah Klang kerana mempunyai banyak pesaing seperti Prasarana Malaysia Bhd., Mass Rapid Transit Corp Sdn. Bhd. dan Express Rail Link Sdn. Bhd.

“Pertumbuhan penumpang kereta api adalah seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara iaitu dalam lingkungan 4.5 hingga enam peratus setiap tahun dan pelbagai usaha perlu dilakukan untuk me­lonjakkan lagi perkhidmatan kargo dan kadar penumpang kami,” katanya.

Mohd. Rani Hisham berkata, KTMB juga akan melaksanakan projek rel berkembar bagi mengembangkan rangkaian kereta api dari Gemas di Negeri Sembilan ke Johor Bahru di Johor, pembinaan yang akan memakan masa empat tahun.

“Apabila projek tersebut siap, semua rangkaian kereta api KTMB daripada utara ke selatan akan mempunyai rel berkembar.

“KTMB juga akan mula menerima satu daripada 22 gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang telah ditempah daripada CRRC Zhuzhou Locomotive Co. dan dibina di kilang CRCC di Batu Gajah, Perak,” kata beliau.

KTMB telah menandatangani kontrak bernilai 180 juta euro (RM 884.16 juta) dengan CRRC untuk membeli 22 EMU iaitu 13 daripadanya adalah diesel empat kereta berkembar manakala sembilan lagi merupakan enam kereta EMU.

HABIS