Penurunan harga ke atas saham-saham syarikat tersenarai yang terkesan dengan kekalahan parti Barisan Nasional (BN) menyebabkan ada yang merosot sehingga melebihi 50 peratus selama dua minggu berturut-turut setelah pasaran dibuka selepas PRU14.

Pembongkaran skandal serta siasatan terhadap penyelewe­ngan dalam pentadbiran terdahulu telah menakutkan pelabur asing yang mana penjualan saham telah berlaku secara besar-besaran.

Kejatuhan saham-saham sya­rikat tersenarai bukan sahaja berlaku ke atas saham-saham berharga sederhana (lower li­ner), malah ke atas saham-saham wajaran tinggi yang merupakan komponen indeks. Saham-saham wajaran tinggi ini merupakan saham-saham pilihan di dalam portfolio pelaburan pe­ngurus dana, pengurusan aset serta pelabur asing.

Penyiasatan skandal 1MDB yang dibuka kembali kertas siasatan dan pengumuman oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa jumlah hutang dan tanggungan Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember 2017 berjumlah RM1.0873 tri­lion (AS$273.39 bilion) atau bersamaan 80.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menjadi bualan rakyat Malaysia.

Pendedahan yang dibuat oleh Guan Eng telah menakutkan pelabur asing kerana kebimba­ngan hutang tersebut merupakan satu bebanan kepada Malaysia yang bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi negara ke arah menjadi sebuah negara maju.

Penelitian dan kajian semula projek-projek mega yang dilaksanakan oleh pemerintahan terdahulu juga merupakan satu kebimbangan kepada pelabur kerana kemungkinan projek-projek tersebut bakal dihentikan.

Corak dan pergerakan harga saham yang sangat drastik ini amat merisaukan apabila mengimbas kembali zaman-zaman sukar yang dilalui semasa krisis kewangan Asia pada 1997. Kejatuhan harga-harga saham secara keseluruhan sehingga mencecah harga limit down jarang berlaku sejak 2014 walaupun terdapat tahun-tahun yang mana pasaran ketika itu tidak memberangsangkan.

Walaupun terdapat beberapa siri kejatuhan pasaran saham dari 2015 hingga 2017, kejatuhan saham syarikat tersenarai secara limit down jarang berlaku lebih daripada satu kaunter dalam sehari.

Dan bukan sahaja beberapa kaunter yang mengalami kejatuhan secara limit down, malah saham-saham syarikat tersenarai yang lain juga banyak yang jatuh pada dua minggu yang lepas. Keadaan ini bukan hanya berlaku dalam sehari di daga­ngan Bursa Malaysia, malah penurunan secara limit down ini berterusan selama beberapa hari.

Justeru, keadaan ini mempunyai sedikit persamaan pada zaman kejatuhan pasaran saham 1997-1998. Pada zaman tersebut, saham-saham syarikat tersenarai yang harga sahamnya jatuh dengan banyak termasuk secara limit down dan tiada langsung pantulan teknikal ketika itu. Dan inilah yang berlaku sekarang. Cuma bezanya ia tidak terjadi ke atas kesemua saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Sehingga hari ini, saham-sa­ham yang jatuh secara limit down masih belum lagi pulih atau kembali semula pada harga asal sebelum ia jatuh walaupun indeks FBM KLCI mencatat kenaikan sebanyak 21.74 mata pada penutup Jumaat.

Pelabur saham yang tidak pernah merasa zaman kejatuhan pasaran saham 1997-1998 akan sentiasa membeli saham secara averaging down kerana mereka menyangkakan bahawa terdapat pantulan teknikal dalam masa terdekat. Juga mereka beranggapan bahawa harga saham berada pada paras yang sesuai untuk dibeli walhal mereka belum pasti lagi berapa lama harga saham akan pulih atau kembali naik.

Dan sekiranya pelabur dan pedagang saham yang membeli saham dengan menggunakan wang yang bukan berlebihan, ditakuti mereka akan menjual saham tersebut pada harga yang rendah daripada harga beli dahulu kerana tidak dapat me­nunggu lagi.

Bagi mengembalikan keyakinan pelabur, dasar-dasar dan polisi kerajaan serta ekonomi tidak harus selalu bertukar-tukar. Kestabilan politik juga harus mampan untuk menarik pelabur asing ke negara ini.

Sekiranya kita inginkan satu negara yang maju, ekonomi yang mampan dan terurus seharus­nya mempunyai pemimpin yang telus dan cekap dalam pentadbiran serta pemerintahan yang tidak selalu bertukar-tukar.

Segala perubahan pada dasar-dasar dan polisi kerajaan bakal mencetuskan perubahan kepada iklim pasaran tempatan. Justeru, pemimpin yang baharu harus bijak mentadbir untuk kesejahteraan rakyat serta menjadikan Malaysia cemerlang dan terbilang di mata dunia.