Dalam satu kenyataan hari ini, KPS berkata, SPLASH Holdings telah menerima Surat Tawaran daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Air Selangor telah menawarkan untuk mengambil alih keseluruhan 50 juta saham biasa dan 350 juta saham pinjaman tidak bercagar boleh tebus (RULS) SPLASH daripada SPLASH Holdings.

KPS memiliki kepentingan 30 peratus dalam SPLASH Holdings menerusi anak syarikat milik penuhnya, Viable Chip (M) Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fariz Hassan berkata: “Menerusi cadangan pengambilalihan oleh Air Selangor, kami kini semakin hampir bukan sahaja kepada satu resolusi membabitkan usaha penstrukturan semula sektor air di negara ini, tetapi juga bagi kami.”

Tawaran itu sah sehingga 10 Ogos 2018, manakala perjanjian jual beli antara SPLASH Holdings dan Air Selangor akan dimeterai tidak lewat daripada 14 September 2018, tertakluk kepada pertanyaan wajar dan kelulusan pihak berkaitan, termasuk pihak berkuasa dan pemegang saham, jika perlu.

Lembaga Pengarah KPS akan membuat pengumuman apabila tiba masanya selepas melalui proses dalaman serta bersama SPLASH Holdings.

Pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor kini dijadikan sebahagian daripada pengukuhan serta penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh kerajaan negeri serta Persekutuan.

Langkah itu juga dilaksanakan bagi meningkatkan rizab simpanan air dan mengurangkan Air Tidak Berhasil atau NRW (air dirawat yang hilang sebelum diterima pengguna) selain menjadi satu langkah untuk mencapai kelancaran bekalan air tanpa gangguan di Lembah Klang dan seluruh negara. - BERNAMA