Dengan pencapaian cemerlang itu, penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar di negara ini merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM155.9 juta pada 2016 berbanding RM145.1 juta pada tahun sebelumnya, peningkatan 7.4 peratus.

Pengerusi KPJ, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pencapaian tersebut hasil komitmen KPJ yang terus membuat pelbagai pelaburan dalam projek pemba­ngunan berkaitan hospital.

"Menerusi pengembangan itu, ia mampu memperluaskan lagi perkhidmatan yang kami tawarkan kepada rakyat di seluruh negara selain memperkukuhkan kedudukan KPJ sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan negara.

“Langkah itu juga memboleh­kan kami menjana nilai jangka panjang yang memberangsangkan," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-24 KPJ di Hotel Puteri Pacific, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Pe­ngarah Eksekutif KPJ, Aminudin Dawam.

Pada masa ini KPJ mempunyai 25 buah hospital di seluruh negara, dua di Indonesia, masing-masing sebuah di Bangladesh dan Thailand serta tiga pusat jagaan warga emas, iaitu di Kuala Lumpur, Sarawak dan Australia.

Kamaruzzaman yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata, KPJ bukan sahaja membina hospital baharu, malah turut menambah baik perkhidmatan sedia ada seperti di Hospital Pakar KPJ Pahang yang dilengkapi makmal ‘cardiac catheterisation' untuk dimanfaatkan penduduk di Pantai Timur.

Sementara itu, Amiruddin memberitahu, KPJ menyasarkan pertumbuhan perolehan sebanyak 10 peratus pada tahun ini, khususnya dengan pembukaan beberapa hospital baharu tidak lama lagi.

Selain itu, KPJ juga sudah dan akan membuat pelaburan dalam teknologi perubatan baharu serta kini dalam perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan, sekali gus memperkenalkan pelbagai perkhidmatan terkini kepada pe­langgan, katanya.