Beliau bagaimanapun meng­akui pelan pertukaran peng­uru­san syarikat adalah satu perkara biasa, dan syarikat seper­ti Kha­zanah tidak terkecua­li untuk melaksanakan pelan yang sama.

Kata beliau, pada kebiasaannya Khazanah hanya mengumumkan perubahan tampuk pentadbiran syarikat enam bulan lebih awal sebelum kontraknya sebagai Pe­ngarah Urusan berakhir.

“Kalau mahu lebih terperinci, saya punya kontrak ada 19 bulan lagi. Malah umur bersara ialah 60 tahun dan saya masih baru ber­usia 56 tahun. Apa yang lebih pen­ting kita jalankan tugas dan buat yang terbaik,” katanya selepas Dia­log TN50: Bakat Muda Rangkaian Khazanah bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Minggu lalu akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan terdapat beberapa calon yang dikatakan kuat melobi untuk mengambil alih jawatan Pengarah Urusan Khazanah itu.

Laporan itu yang memetik sumber menyatakan beberapa nama kuat dikaitkan dengan jawatan tersebut antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, iaitu institusi kewa­ngan kedua terbesar negara, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Arul Kanda Kandasamy.

Tambah Azman lagi, agak sukar baginya untuk memberikan sebarang komen berhubung perkara itu kerana laporan yang dikeluarkan tidak menamakan sumber yang terlibat.

Beliau yang telah meme­gang jawatan Pengarah Urusan Khazanah sejak 2004 berkata, dirinya gembira apabila syarikat pelaburan itu telah melalui proses perkembangan yang baik terma­suk dari segi kewangan.

“Saya faham ramai yang bertanya perkara ini, tetapi yang pentingnya ialah institusi. Ke­pimpinan atau bakat sama ada dari dalam atau luar itu perkara kedua, yang penting adalah ins­titusi ini ditadbir dengan baik,” katanya.

Azman sehubungan itu mera­kamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Khazanah kerana sentiasa menyokong perkembangan syarikat itu.