Pengerusi Northport, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, menerusi perjanjian tersebut Northport diberikan hak dan kuasa untuk menyedia dan menjalankan kerja-kerja operasi, penyelenggaraan, pengurusan dan kawalan di kedua-dua pelabuhan berkenaan.

Jelas beliau, Northport juga diberikan hak untuk mengenakan caj dan mengutip bayaran daripada pengguna pelabuhan sebagai sebahagian daripada operasi yang disediakan.

“Hak dan kuasa ini diberikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Penswastaan dan Lesen mengikut Akta Pelabuhan (Penswastaan) 1990 dan Akta Pihak Berkuasa Pelabuhan 1963.

“Perjanjian ini memberi peluang kepada kami meneruskan kerja untuk kemajuan Pelabuhan Klang dan meningkatkan ekonomi negara. Terima kasih kepada kerajaan dan Pihak Berkuasa Pelabuhan (PKA) kerana yakin dengan kemampuan Northport,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, perjanjian tersebut ditandatangani oleh Che Khalib mewakili Northport sementara pihak kerajaan dan PKA ma­sing-masing diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Peng­angkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Pengerusi PKA, Tan Sri Kong Cho Ha sambil disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Northport dahulunya dikenali sebagai Klang Container Terminal (KCT) dianggap sebagai perintis kejayaan kepada program pen­swastaan kerajaan. Penubuhannya merupakan sebahagian daripada fasa pertama penswastaan Pelabuhan Klang pada Mac 1986.

MMC Corporation Berhad melalui subsidiarinya, MMC Port Holdings Sdn. Bhd. (MMC Ports) telah mengambil alih pemilikan Northport pada Januari 2016.

MMC Ports juga mengendalikan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Penang Port Sdn. Bhd., Tanjung Beruas Port Sdn. Bhd., Kontena Nasional Berhad dan JP Logistics Sdn. Bhd.