Sikap positif, komitmen terhadap pelanggan dan kebolehan yang ditunjukkan Datuk Sazaly Hassan telah menarik perhatian Petronas untuk menjemput beliau membida projek peluasan Petronet, iaitu rangkaian sistem komunikasi telefon syarikat mi­nyak dan gas negara itu di perte­ngahan tahun 1990-an.

Dengan berbekalkan pengalaman kerja serta kebijaksanaan menangani pelbagai situasi, Sazaly telah berjaya memenangi kontrak tersebut.

Mengimbau kenangan 23 tahun beliau membangunkan Protellus (M) Sdn. Bhd., anak kelahiran Renggam, Johor itu berkata: “Itulah waktu yang paling sukar dalam hidup saya iaitu apabila mengambil komitmen yang amat besar terhadap Petronas dan pada masa yang sama membangunkan sebuah syarikat.

“Pada masa itu, saya menghadapi kekangan kewangan dan stok untuk menyiapkan projek tersebut dalam masa yang ditetapkan. Keadaan memaksa saya mencari dana alternatif dan bekerja sehingga 14-15 jam sehari, menyebabkan saya hanya mampu meluangkan 10 peratus sahaja masa bersama keluarga,” katanya yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Berkat kegigihan dan pengorbanan Sazaly, PMSB diberi mandat membekal serta menyelenggara sistem telefon Private Automatic Branch Exchange (PABX) kepada Petronas, dan kontrak yang diperoleh sentiasa diperbaharui. Namun, kebergantungan terhadap kontrak tersebut telah membuatnya alpa terhadap kemajuan teknologi. Bermula tahun 2008, perniagaannya merosot apabila Petronas memilih untuk menggunakan teknologi IP Telephony yang lebih canggih dari sistem PABX yang disediakan syarikat miliknya.

Susulan daripada itu, Sazaly membuat banyak percubaan perusahaan baru demi memastikan kelestarian jangka panjang PMSB, termasuk menceburi bidang pembinaan hartanah.

Walau bagaimanapun, usaha beliau tidak membuahkan hasil seperti yang diharap. Sazaly terpaksa menerima hakikat bahawa tanpa ilmu yang luas dalam bidang pembinaan, beliau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jurutera serta orang bawahan.

“Pembinaan hartanah merupakan sesuatu yang kompleks, serius dan memerlukan kepakaran kerana ia melibatkan ke­selamatan serta nyawa manusia,” kongsi Sazaly, yang kemudiannya mengambil keputusan menghentikan perniagaan di luar bidang kepakarannya itu.

Pada 2012, hanya satu kontrak kecil bersama Petronas yang tinggal untuk PMSB iaitu penyelenggaraan sistem komunikasi di Kerteh. Ketika itu, Sazaly hampir berputus asa dan merasakan peluangnya untuk terus bekerjasama dengan Petronas sudah berakhir.

Bagi Sazaly, kemerosotan adalah lumrah dalam perniagaan yang biasa dihadapi setiap usahawan.

“Untuk berjaya kita harus bersikap inovatif, berusaha memperbaiki kelemahan dan jangan bergantung harap dengan orang lain.”

Bertanggungjawab terhadap 50 orang pekerja ketika itu, Sazaly terus menggandakan usaha mencari peluang perniagaan baharu dan ikhtiar memasarkan perkhidmatan PMSB. Pada 2014, ruang buat PMSB menjadi kontraktor Petronas kembali terbuka di bawah projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.

“Bukan mudah menjadi kontraktor organisasi besar seperti Petronas, kua­liti perkhidmatan sangat dititik beratkan - jika tidak mengikut piawaian, kontrak boleh ditamatkan,” kata Sazaly.

“Saya percaya, mutu perkhidmatan PMSB yang baik membolehkan syarikat ini bertahan sehingga kini,” tambah beliau.

Mengimbas pengalaman membangun bersama syarikat antarabangsa itu, Sazaly tidak pernah patah semangat apabila cadangan yang dibentangkan ditolak. Bagi beliau, pelanggan berhak memilih rumusan yang terbaik.

“Petronas adalah sebuah syarikat yang telus dengan adanya Kod Etika Perniagaan dan ini telah memudahkan urusan kami de­ngan pihak perolehan,” kata Sazaly. “Saya yakin bahawa kontrak yang dimenangi oleh PMSB adalah berdasarkan kekuatan dan kebolehan syarikat sepenuhnya.”

Bercakap mengenai persai­ngan, Sazaly berpendapat usahawan bumiputera harus berdaya saing dengan memberi tumpuan kepada usaha memajukan produk dan perkhidmatan, selaras de­ngan permintaan pasaran hari ini.

“Fokus terhadap perniagaan bermakna kita meninggalkan sikap negatif seperti memburukkan pesaing dan menyalahkan ke­adaan semata-mata. Sebaliknya, kita harus bersikap lebih terbuka dengan menjadikan kelebihan pesaing sebagai kayu pengukur untuk memajukan perniagaan hingga ke tahap yang terbaik,” ujar beliau.