Pengumuman tentang kerjasama itu dibuat dalam majlis yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), baru-baru ini. Hadir memeriahkan acara adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd., Benyamin Ismail serta Ketua BIG Duty Free dan Barangan Keperluan AirAsia, Sumeet Dhingra.

Siti Nurhaliza yang juga Presiden SimplySiti berkata, usahasama tersebut adalah satu anjakan positif dalam membawa jenama itu ke peringkat lebih tinggi.

“Ini adalah kerjasama hebat yang mampu memperkenalkan lagi SimplySiti ke peringkat global. AirAsia adalah syarikat bertaraf antarabangsa yang diyakini dapat membantu hasrat untuk menembusi pasaran baharu seluruh dunia,” katanya.

Dua produk, Simply Elegant 2 Way Cake dan Simply Elegant Lip Gloss Duo edisi AirAsia merupakan produk eksklusif yang mula dijual dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X bermula 1 September lalu.

Siti Nurhaliza memberitahu, pemilihan produk itu adalah berdasarkan kesepakatan kedua-dua pihak yang menyedari populariti Simply Elegant 2 Way Cake dan Simply Elegant Lip Gloss Duo dalam kalangan pengguna.

“Dalam masa yang sama, kedua-dua produk ini ditampilkan semula dengan penambahbaikan, bentuk pakej dan pembungkusan lebih menarik serta eksklusif bagi menepati kriteria AirAsia. Ini bagi memberi nilai tambah kepada pengguna yang membuat pembelian sewaktu dalam penerbangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Benyamin ketika ditemui memberitahu, kerjasama tersebut adalah satu tanda sokongan AirAsia terhadap produk tempatan yang berkualiti dan wajar diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

“AirAsia sinonim dengan kerjasama bersama syarikat pengusaha produk antarabangsa. Kami amat berbangga kerana sekali lagi diberi peluang memperkenalkan jenama tempatan yang bukan sahaja popular, malah diakui berkualiti.

“Kami yakin akan wujud permintaan tinggi terhadap dua produk ini. Namun, semua itu berbalik kepada strategi pemasaran yang dijalankan. Oleh itu, AirAsia akan terus menjalankan inisiatif untuk memperkenalkannya kepada semua pengguna perkhidmatan kami,” jelasnya.

Simply Elegant 2 Way Cake dan Simply Elegant Lip Gloss Duo edisi AirAsia dijual di semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X pada harga RM60. Namun, pembeli boleh menikmati harga promosi RM54 bagi kedua-dua produk itu sehingga 30 September ini.

Selain itu, pengguna boleh membuat pembelian rangkaian penuh produk SimplySiti secara dalam talian menerusi laman bigdutyfree.com. – AL FAIZAL/ AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN