Naib Presiden Perancangan Produk KMA, Orth Hendrick ber­kata, model baharu tersebut direka di studio Kia Eropah dan Amerika Syarikat dengan kerjasama pusat rekaan di Namyang, Korea Selatan.

Beliau berkata, Rio serba baharu telah dipertingkatkan bagi memberikan penjimatan petrol, teknologi inovatif, ciri kesela­­ma­t­an baharu dan keseronokan pemanduan.

“Kia sentiasa menekankan aspek nilai dalam penghasilan kenderaan dan Rio Sedan serta Rio 5-pintu mencerminkan komitmen kualiti kepada pembeli yang mahu memiliki kereta subkompak terbaik.

“Generasi keempat Rio telah mengalami perubahan yang signifikan dan mengatasi model ter­dahulu dalam aspek rekaan, teknologi dan keselesaan penum­pang sekali gus memberikan lebih nilai kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Orth Hedrick, bahagian luaran Rio diberi sentuhan garis-garis tajam dan permukaan licin supaya kelihatan lebih canggih dan sporty berbanding gene­rasi terdahulu.

Katanya, bahagian hadapan menampilkan jeriji gaya Kia tiger-nose dan mengintegrasikan lampu hadapan baharu untuk kelihatan agresif.

“Rio serba baharu lebih luas, moden dan mewah dengan panel instrumen yang lebih baik serta susun atur ergonomik menggunakan bahan-bahan berkualiti. Ruang kabin juga telah dibentuk semula untuk disesuaikan de­­ng­an teknologi baharu Rio.

“Kedua-duanya didatangkan dengan transisi automatik dan manual enam kelajuan serta kekuatan enjin 130 kuasa kuda dan kuasa kilas 119 Nm. Rio baharu menggunakan struktur keluli kekuatan tinggi bagi meningkatkan ketahanan, prestasi ujian pelanggaran dan kuasa kilas,” ujarnya.

Rio serba baharu juga dilengkapi enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Antikekunci (ABS), Bantuan Mula Daki (HAC) dan Pe­ngurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) 4.