Sehubungan itu Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam satu kenyataan menjelaskan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menetapkan bahawa kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) KLIA2 dan KLIA adalah sama bagi tujuan memudahkan persaingan yang lebih adil untuk syarikat penerbangan di kedua-dua terminal itu.

Selain itu jelasnya, langkah menyamakan PSC itu juga adalah selaras dengan garis panduan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Pada Januari 2017, kerajaan memutuskan PSC di semua lapang­an terbang di Malaysia disamakan susulan kajian menyeluruh ke atas caj penerbangan dalam keseluruhan industri itu oleh Mavcom.

“Malah, kadar baharu PSC ASEAN mendapat pengurangan sebanyak 46 peratus daripada RM65 kepada RM35 yang memberi faedah kepada 18 juta penumpang dan menjadikan syarikat penerbang­an lebih kompetitif untuk laluan ASEAN,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan MAHB itu dibuat sebagai mengulas kritikan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berhubung pelaksanaan PSC di KLIA2 seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Jumaat lalu.

Sejak Januari lalu, kadar PSC telah disamakan untuk semua la­pa­ngan terbang iaitu RM73 untuk bukan ASEAN, RM35 (ASEAN) dan RM11 (domestik). Buat masa ini kadar PSC antarabangsa bukan ASEAN di KLIA2 adalah pada kadar RM50.

MAHB menjelaskan, mekanis­me kadar PSC didasarkan kepada model rangkaian serta rentas subsidi bagi membolehkan ia mengendalikan lapangan terbang di lokasi yang tidak menguntungkan seperti landasan berlepas dan mendarat yang pendek.

“Model yang sama dilaksanakan untuk semua caj aeronautik lain, seperti pendaratan dan bayaran parkir untuk pesawat,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sehingga November lalu, pertumbuhan trafik untuk bukan ASEAN kekal teguh walaupun PSC lebih tinggi pada RM73 dan sekali gus menikmati pertumbuhan yang lebih tinggi pada 15.1 peratus berbanding ASEAN iaitu 13.6 peratus.

“Ini tidak memeranjatkan kerana 70 peratus penumpang antarabangsa bukan ASEAN di KLIA dan KLIA2 adalah warga asing dan ia tidak terjejas oleh kadar PSC.