Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia X, Benyamin Ismail meng­akui bahawa KKIA menawarkan potensi besar terhadap kumpulan seiring dengan rancangan AirAsia X untuk menjadikan KKIA sebagai hab bagi perkhidmatan ke China, Korea Selatan, Jepun dan India serta pusat transit di antara Australia dan Asia Utara.

Walau bagaimanapun kata­nya, AirAsia X tidak dapat melak­sanakan perancangan itu selagi isu lapangan terbang berkenaan masih belum selesai.

“AirAsia X sudah bersedia untuk memanfaatkan KKIA yang merupakan pasaran pelancong dari China dan Korea Selatan, tetapi isu lapangan terbang ini perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman kerjasama baharu di antara AirAsia X dengan Sony Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Ko­mersial AirAsia X, Barry Klipp dan Pengarah Urusan Sony Malaysia, Satoru Arai.

Kerajaan negeri Sabah sedang menimbang untuk menyiapkan pembinaan lapangan terbang baharu dalam masa beberapa tahun dan AirAsia sudah meminta sebuah terminal LCC untuk dipertimbangkan dalam pelan induk­nya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat menyatakan harapan beliau supaya T2 boleh diberi nafas baharu untuk kegunaan LCC buat masa ini yang akan turut menjadikan keadaan Terminal 1 (T1) lebih selesa setelah semakin pesat mencapai kapasitinya.

Dalam perkembangan lain, Air­Asia X bekerjasama dengan Sony Malaysia melancarkan pencari­an duta global bersama menerusi peraduan Through the Lens yang bakal berlangsung mulai 30 Julai hingga 7 Oktober 2018.

Orang ramai boleh menyertai peraduan itu secara perkongsian imej menarik dari mana-mana 130 destinasi AirAsia melalui throughthelens.airasia.com.

Hadiah utama merupakan pengalaman sebagai duta bersama AirAsia X dan Sony Malaysia, tempat duduk Premium Flatbed pergi balik secara percuma dan tempat penginapan di Tokyo, melawat ibu pejabat Sony di Jepun, kamera tanpa cermin bingkai penuh baharu Sony, Alpha A7III K bernilai RM9,433 dan fon kepala tanpa wayar Sony h.ear on 2 bernilai RM1,093.

Turut ditawarkan sembilan hadiah saguhati termasuk tiket penerbangan AirAsia X dan sebuah kamera Sony RX100V bernilai RM4,299 pada setiap minggu buat paparan kreatif terbaik dikemukakan di laman mikro peraduan itu.