Ketua Pegawai Eksekutif Scientific Retail, Ng Seong Ping berkata, setiap aspek dalam kiosk itu dikawal sepenuhnya oleh sistem kecerdasan buatan (AI), pengecaman wajah dan produk dan sistem pencegahan jenayah.

Menurut beliau, teknologi yang diguna pakai sesuai semua jenis perniagaan antaranya fesyen, makanan dan minuman (F&B), peruncitan dan barangan elektronik.

“Konsep kiosk ini membantu perniagaan untuk menjimatkan kos, meningkatkan kecekapan, fleksibel, selamat dan boleh beroperasi selama 24 jam setiap hari. BingoBox juga memberikan data berhubung tingkah laku pelanggan yang mana ia membantu perniagaan menyesuaikan tawaran untuk segmen sasaran.

“Kiosk ini juga fleksibel kerana boleh ditempatkan di mana-mana kawasan yang berpotensi termasuk apartmen, bangunan komersial, institusi pendidikan dan hab pengangkutan,” katanya dalam majlis pelancaran BingoBox di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd., Shairan Huzani Husain; CEO Boost, Christopher Tiffin; Pengasas dan CEO BingoBox China, Chen Zilin dan CEO Ximplicity Sdn. Bhd., Remus Shai Meng Choon.

Tambah Seong Ping, pihak­nya menyasarkan jualan seba­nyak 500 buah BingoBox sehingga penghujung 2019.

Katanya, minat serta perta­nyaan yang diterima daripada pelbagai sektor dan industri sa­ngat menggalakkan walaupun konsep perniagaan seperti BingoBox masih baharu di Malaysia.

Mengenai kos sebuah BingoBox, Pengurus Projek Sientific Retail, Andrew Lee berkata, kiosk tersebut berharga antara RM150,000 hingga RM250,000 sebuah.