Kenyataan tersebut bagi menjawab laporan Reuters bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan dana yang diperoleh daripada Khaza­nah untuk membayar beberapa liabiliti dana kerajaan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Menurut Khazanah, pihaknya telah menerbitkan RCCPS bernilai RM3 bilion kepada Kementerian Kewangan pada 7 Mac 2011.

Katanya, RCCPS adalah modal yang disuntik dengan Kementerian Kewangan sebagai peme­gang saham 100 peratus Khaza­nah justeru mempunyai hak untuk menebusnya pada bila-bila masa.

“Pada 14 Mac 2014, Kementerian Kewangan menebus seba­nyak RM1.8 bilion daripada jumlah RM3 bilion yang diterbitkan dan kementerian itu sekali lagi me­nebus baki RM1.199 bilion RCCPS berkenaan pada 11 Ogos 2017.

“Sebagai pemegang tunggal RCCPS, perlu diingatkan bahawa Kementerian Kewangan mempunyai hak untuk menebus RCCPS pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penebusan RCCPS secara berkuat kuasa adalah bayaran balik modal pemegang saham oleh Khazanah kepada Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu, adalah rele­van untuk menyatakan bahawa Khazanah tidak mempunyai kawalan ke atas penggunaan saham berkenaan sebaik sahaja RCCPS sudah ditebus.

Reuters yang memetik sumber berkata, saham yang ditebus digunakan untuk membayar sebahagian hutangnya kepada firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company PJSC (IPIC).