Selain Khazanah, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) juga akan di­letakkan di bawah JPM, manakala Kementerian Kewangan Inc. (MoF Inc.) pula akan dibubarkan.

Berdasarkan struktur lama, terdapat lebih 150 syarikat di bawah MoF Inc. termasuk Khazanah, Petronas, PNB, IJN Holdings Sdn. Bhd. dan juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Struktur baharu ini adalah berbeza dengan spekulasi awal untuk meletakkan semua syarikat milik kerajaan (GLC) dan semua syarikat itu di bawah MEA yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali,’’ lapor The Star yang memetik sumber hari ini.

Spekulasi itu membuatkan ramai beranggapan Azmin akan diberi tanggungjawab besar untuk menguruskan syarikat-syarikat besar negara seperti Petronas, khazanah dan PNB yang mempunyai nilai terkumpul lebih RM1 trilion.

Bagaimanapun, sumber memberitahu sekalipun Azmin tidak mengawasi syarikat-syarikat di bawah struktur baharu, beliau tetap menjadi tokoh utama dalam pentadbiran Pakatan Harapan.

Ini kerana portfolio yang di­letakkan di bawah MEA masih mempunyai kawalan ke atas Unit Perancang Ekonomi dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang mana dua agensi ini sebelum ini diletakkan di bawah JPM.

“GLC yang akan di­letakkan di bawah MEA menerusi struktur baharu ini termasuklah Ekuiti Nasional Bhd, Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Perbadanan Nasional Bhd, Felcra Bhd, FGV Holdings Bhd. dan Johor Petroleum Development Corp.,” kata sumber itu.

Menurutnya lagi, satu daripada inisiatif di bawah penstrukturan besar-besaran itu termasuklah membubarkan MoF Inc.

Bagaimanapun, ia akan memberi implikasi yang besar kerana ia melibatkan banyak syarikat di bawahnya dengan MoF Inc. sebagai pemegang saham utama. Tetapi yang selalu menjadi kebimbangan adalah pembayaran kepada pengarah-pengarah MoF Inc. sebahagian besarnya tidak diketahui.

Di bawah struktur baharu itu, 1MDB dan unitnya, SRC International Sdn. Bhd. kekal di bawah Kementerian Kewangan yang di­terajui Lim Guan Eng.

Syarikat-syarikat pengangku­tan pula diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan dike­tuai Anthony Loke Siew Fook. Ini termasuk Syarikat Penerbangan Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Bhd dan Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Ali Salman berkata, GLC perlu memainkan peranan dengan membantu me­ningkatkan ekuiti bumiputera di negara ini menerusi pembe­lian bahagian pengawalan dalam syarikat (MBO).

Dengan itu katanya, ia membolehkan GLC melahirkan pe­mimpin korporat dalam kalangan bumiputera yang mampu meneruskan objektif sebenar penubuhan GLC.

“Dalam masa sama, semua GLC juga mempunyai keupayaan untuk mewujudkan program pembangungan vendor bumiputera bagi meningkatkan daya saing bumiputera. Secara dasarnya, GLC tidak bersaing dengan syarikat swasta. Malah, GLC diarahkan untuk merangsang usaha mening­katkan pegangan ekuiti bumiputera di negara ini.

“Sudah tentu kami mahu melihat lebih ramai pemimpin korporat bumiputera yang boleh meneruskan agenda ini menerusi MBO. Hanya dengan MBO akan menyumbang secara langsung untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

“Dalam perkara ini, kerajaan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah GLC ini akan dibuat berasaskan merit dan profesionalisme dan bukan ber­asaskan politik. Bagi mengelakkan konflik kepentingan, jumlah elaun yang diterima mereka juga perlu disiarkan secara tahunan yang boleh diakses oleh orang ramai,” katanya.

Semalam, sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah meletakkan jawatan yang turut melibatkan Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar.

Peletakan jawatan itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mengkritik peranan Khazanah supaya kembali menjalankan matlamatnya membela bumiputera dan bukannya hanya mencari keuntungan untuk syarikat itu semata-mata.