Ketua Pegawai Eksekutif RAM Ratings, Foo Su Yin berkata, program Sukuk Ihsan yang diberi penarafan AAA minggu lalu merupakan sukuk impak sosial pertama yang akan diberi nilai di peringkat global.

Katanya, SRI masih perlahan di Asia, tetapi penerbit sukuk di Korea Selatan, India dan Taiwan telah menjualnya yang disifatkan sebagai bon hijau dan permintaan dalam kalangan pelabur semakin meningkat.

“Bank Pembangunan Asia (ADB) melancarkan bon hijau pertama pada Mac lalu dan berjaya mengumpul AS$500 juta (RM1.78 bi­lion).

“Meskipun pasaran SRI global masih baharu, kami melihat potensi pertumbuhan besar berikutan permintaan global dan domestik yang semakin meningkat terhadap tadbir urus serta pelaburan beretika,” katanya yang dilaporkan oleh Reuters di sini hari ini.

Pelabur dan pemerhati pasaran menjangkakan pelancaran program itu seawal bulan depan meskipun persediaan dari segi pemasaran masih belum diputuskan.

SRI atau pelaburan hijau melengkapi prinsip kewangan Islam yang memerlukan wang untuk digunakan bagi perlindungan dan pemeliharaan sosial masyarakat.

Malaysia adalah pasaran bon Islam terbesar dunia mengambil kira dua pertiga daripada semua sukuk yang dijual.

Menurut ADB, Malaysia mempunyai AS$161 bilion (RM574 bilion) sukuk mata wang tempatan yang cemerlang pada akhir 2014.

Sukuk Ihsan ditubuhkan sebagai saluran pembiayaan dengan Kha­zanah sebagai penanggung sementara CIMB adalah pengatur tunggal. – REUTERS