Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, sebagai agensi pelaburan strategik kerajaan, Khazanah telah membuat pelaburan secara aktif dalam syarikat teknologi.

“Kami telah membuat pe­laburan yang baik dalam Alibaba dan mempunyai keuntungan belum direalisasi berjumlah AS$1.4 bilion (RM5.92 bilion),” katanya kepada pemberita pada majlis Forum Megatrend Khazanah 2017 (KMF 2017) di sini hari ini.

Azman berkata, Khazanah akan terus menyeimbangkan portfolio pelaburan bagi faedah negara bukan sahaja dari segi kewangan.

“Pada masa sama, kami bercakap mengenai usaha membina melalui nilai kerana kita membantu membangunkan negara sejajar dengan peranan kami sebagai agen strategik yang mana nilai bukan sahaja kewangan tetapi juga dari segi ekonomi, strategik dan masyarakat,” katanya.

Secara purata kata beliau, Khazanah melabur dalam tidak lebih daripada 20 syarikat setahun.

Bagi setiap keputusan pelaburan katanya, Khazanah akan menilai antara 30 dan 50 potensi pelaburan.

Menurutnya, beliau menjangka Bajet 2018 akan mempunyai beberapa inisiatif bagi merangsang pembangunan teknologi.

Katanya, ia seiring dengan aspirasi kerajaan untuk rancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berusaha keras untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi pembangunan masa depan.

“TN50 adalah sesuatu yang sedang dilaksana kerajaan. Khazanah juga menyumbang kepada proses ini untuk masa depan, yang mana kami mahu menggunakan teknologi terbaik bagi menghasilkan pembangunan lebih baik kepada setiap orang,” katanya.

KMF 2017, bertema ‘Serebrum vs Algoritma: Membina Nilai Sebenar Dalam Dunia Pasca Kebenaran’, meneroka hubungan antara kecerdasan buatan (algoritma) dan kecerdasan manusia (serebrum) dan cara-cara menggunakan hubungan yang dapat memberi manfaat kepada ekonomi dan rak­yat.