Ahmed Al Kharji
Ahmed Al Kharji

Malah KFH telah mengesahkan pelantikan Credit Suisse Group AG untuk menguruskan transaksi tersebut, bagi menjual perniagaannya di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Bank Islam itu bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh masa dan nilai harga jualan perniagaannya itu. Mac lalu, bank itu menyatakan mahu memberi fokus untuk mengembangkan perniagannya di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Hal itu mengejutkan selepas Unit KFH di Malaysia, Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFH Malaysia) pada 28 April lalu baru sahaja mengumumkan pelantikan Ahmed Al Kharji sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya berkuat kuasa 20 April 2015.

Bagi tahun kewangan 2014, KFH Malaysia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM92.8 juta menurun berbanding tahun kewangan sebelumnya berjumlah RM97.7 juta.

Walaupun prestasi kewangan itu menurun, bank itu dilihat berjaya memulihkan prestasi kewangannya yang sebelum itu dari 2009 hingga 2011 mencatatkan prestasi buruk dengan kerugian bersih berjumlah RM471.6 juta pada 2011.

Bank itu yang mendapatkan lesen operasinya pada 2005 dan menjadi bank Islam asing pertama yang menembusi pasaran tempatan dan seterusnya diikuti oleh dua buah bank Islam Asia Barat lagi iaitu Al Rajhi dan Asian Finance Bank. Kemasukan bank-bank tersebut adalah seiring dengan liberalisasi dan perkembangan perbankan Islam di Malaysia sejak 15 tahun lalu.

Sehingga akhir 2014, aset KFH Malaysia berjumlah RM10.47 bilion meningkat daripada RM9.45 bilion dari 2013. Ketika ini KFH Malaysia mempunyai 15 cawangan banknya di seluruh negara termasuk pusat tukaran mata wang di KLIA2.

Bagaimanapun difahamkan, kakitangan KFH Malaysia masih tidak menerima apa-apa sebarang maklumat mengenai penjualan operasi bank Islam itu dan sebarang keputusan datangnya dari induk bank itu yang berpusat di Kuwait.

Selain tiga bank Islam Asia Barat itu, hanya Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dan Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) merupakan entiti perbankan Islam di Malaysia yang berdiri sendiri dan bukan merupakan unit kepada sebuah jenama perbankan konvensional.