Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, pengendali tunggal kepada restoran makanan segera ber­asaskan ayam itu kini sudah mempunyai 700 cawangan di seluruh negara.

“Restoran ke-22 KFC akan dibuka di Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada Khamis ini dan pembukaannya nanti menandakan kita hampir mencapai sasaran sebanyak 23 cawangan bagi 2018.

“Bagi pembukaan cawa­ngan ke-21 tahun ini atau ke-700 secara keseluruhan di Bandar Seri Sendayan hari ini, QSR Brands mendapat kerjasama pemaju hartanah, Matrix Concept Holdings Berhad,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Cawangan KFC ke-700 di Bandar Seri Sendayan, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yum! Brands Inc., Greg Creed; Pe­ngurus Besar KFC Asia, Valerie Kubizniak; Timbalan Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts, Datuk Lee Tian Hock dan Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim.

Mohamed Azahari berkata, restoran KFC di Bandar Seri Sendayan itu beroperasi 24 jam dan mampu menampung sehingga 170 pelanggan pada satu-satu masa serta dilengkapi kemudahan pandu lalu.

Dibina dengan kos keseluruhan bernilai RM3.5 juta, restoran itu turut dilengkapi teknologi penjimatan tenaga serta ciri-ciri mesra alam dengan sistem pe­ngumpulan air hujan.

“Pencapaian ini sekali gus menjadi tonggak untuk QSR Brands mengorak penguasaan dalam industri perkhidmatan restoran makanan segera yang serba kompetitif pada masa kini,” ujarnya.