Langkah-langkah proaktif ini diambil setelah jualan mereka merekodkan penurunan ketara dan pengguna aktif mereka kekal statik selama dua tahun berturut-turut sebelum ini, yang mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli lembaga pengarah mereka.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Statista, sebuah portal yang berpusat di Hamburg, Jerman, setakat Oktober 2017, Twitter kini berada di tangga keempat selepas Facebook, YouTube dan Instagram daripada senarai keseluruhan rangkaian media sosial yang mempunyai jumlah akaun aktif tertinggi dunia.

Mereka memiliki sebanyak 328 juta pengguna aktif, angka yang jauh berkurangan berbanding pendahulu Facebook yang mempunyai jumlah akaun aktif melebihi dua bilion. YouTube dan Instagram pula berada di tangga kedua dan ketiga masing-masing mempunyai pengguna aktif sebanyak 1.5 bilion dan 700 juta orang.

Dengan pengenalan beberapa fungsi baharu ini, Twitter ma­hu terus bersaing. Mereka ma­hu memastikan para pengguna yang sedia ada terus kekal menggunakan rangkaian ini un­tuk berinteraksi, di samping me­narik pengguna-pengguna baharu.

Fungsi penulisan berangkai (thread)

Beberapa hari yang lepas, Twitter secara rasminya melancarkan fungsi paling terbaharu mereka di beberapa negara Asia termasuk Malaysia iaitu penulisan berangkai atau thread.

Anda kini mempunyai pilihan untuk menyambung status anda kepada tweet yang baharu di bawah tweet utama sekiranya anda ingin menulis lebih daripada 280 huruf. Kalau dahulu, rangkaian yang wujud boleh ‘terpotong’ dengan mudah kerana terdapat status-status yang ditulis oleh orang lain di antara thread kita yang ditulis. Kini, ia kelihatan lebih menarik dan berterusan.

Pengenalan kuota 280 huruf

Pada Disember lepas, Twitter menambah jumlah kuota huruf yang boleh ditulis menjadi 280 huruf berbanding 140 huruf sahaja sebelum ini. Pe­ngenalan ini mengundang reaksi yang pelbagai daripada pengguna tegar mereka ter­utama di Malaysia.

Ada yang suka, ada yang marah, malah ada juga yang kecewa kerana menurut mereka Twitter kini tidak lagi seperti dahulu. Ada juga yang mengatakan ‘sampah’ juga semakin ba­nyak dengan wujudnya fungsi 280 huruf ini.

Pencarian yang lebih terperinci (Advance Search)

Pencarian maklumat secara biasa di Twitter agak leceh kerana fungsinya yang agak bersele­rak dan tidak tersusun. Dengan pengenalan fungsi pencarian yang lebih terperinci, borang digital yang disediakan lebih tersusun kemas untuk memudahkan maklumat yang dikehendaki dicari dan dijumpai.

Kebenaran pesanan ringkas dihantar dan diterima secara terus.

Walaupun kita tidak mengikut seseorang itu ataupun mana-mana individu itu tidak menjadi pengikut kita, pesanan ringkas kini boleh dihantar atau diterima secara langsung. Fungsi ini walau bagaimanapun tertakluk kepada bagaimana anda membuat pilihan pada tetapan atau setting yang ada.

Pemantauan aktiviti melalui fungsi analitik.

Anda boleh memantau prestasi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan berdasarkan harian, mingguan, bulanan dan sebagainya.

Hentikan video yang dimainkan dan paparan gambar secara automatik.

Kini, anda boleh membuat pi­­lihan sama ada untuk membenarkan video yang dilihat dimainkan dan gambar-gambar yang ada secara automatik ataupun tidak. Dengan pengenalan ini, ia akan membantu anda menjimatkan penggunaan data dengan lebih baik berbanding dahulu.

Sebelum ini, kesemua video dan gambar-gambar yang wujud di Twitter akan dimainkan atau dipaparkan secara automatik, yang menggunakan data lebih banyak. Kini ia tidak lagi.

Langgan tweet daripada akaun yang anda minat.

Kini anda boleh melanggan dan mengikuti setiap perkembangan status terbaharu daripada mana-mana akaun yang anda mahu. Setiap status yang terbaharu daripada mereka, notis akan dihantar terus kepada anda agar anda tidak ketinggalan dalam mengetahui perkembangan terkini. Ini sesuai kepada anda yang ingin mengetahui berita-berita terkini secara terus dan terperinci.

Pihak pengurusan Twitter yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Jack Dorsey juga turut didesak ahli lembaga pe­ngarah untuk menyediakan kemudahan yang lebih berdaya maju untuk para pengguna menaik taraf status akaun mereka kepada akaun premium, dan menggunakan perkhidmatan iklan berbayar yang murah.

Dengan perubahan-perubahan ini, kita dapat lihat Twitter kini lebih jauh berdaya saing dan tidak lagi pasif seperti dahulu.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau di azleen.com