S. Piarapakaran
S. Piarapakaran

Presiden AWER, S. Piarapakaran mendakwa, syarikat-syarikat sebegini adalah seperti dummy company yang akhirnya akan menjual hak pembinaan (development rights) bagi meraih keuntungan atas angin, sambil memegang saham dalam projek tersebut supaya tidak mengundang keraguan.

Menurut beliau, ‘jual-beli’ sebegini adalah kos tambahan kepada rakyat dan ia jelas kelihatan dalam beberapa kes berkaitan penganuge­rahan hak pembinaan dengan ‘alasan-alasan yang pelik’ melalui run­dingan terus sejak kebelakangan ini.

Katanya, pembi­da­an kompe­titif adalah untuk memastikan harga bidaan terendah daripada pembida yang mempunyai pe­ngalaman dalam teknologi atau bidang tertentu dipilih dan melalui cara ini, kerajaan dapat memastikan hanya kos terendah di­salurkan kepada pengguna.

“Dalam kes LSS, kerajaan telah pun menggariskan pembidaan kompetitif sebagai kaedah penganugerahan bagi projek-projek loji janakuasa dalam kedua-dua Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11.

“Kaedah penganugerahan pro­jek sepatutnya tidak bertenta­ngan dengan keputusan dan dasar kerajaan,’’ katanya sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik sumber industri berhubung kaedah peng­anugerahan kontrak pembangunan Loji Solar Fotovoltaik Berskala Besar (LSS).

Menurut sumber industri, ke­putusan Suruhanjaya Tenaga (ST) menjadi tanda-tanya kerana mengeluarkan kontrak tidak mengikut syarat yang ST sendiri tetapkan.

Beberapa syarikat yang turut serta dalam program pembidaan LSS baru-baru ini, mendakwa sekurang-kurangnya dua syarikat diluluskan oleh ST pada harga rujukan (reference price) 41 sen per kWh dan satu melebihi harga tersebut.

Dalam konteks ini, Piarapakaran menyeru Ketua Audit Negara untuk mengaudit isu-isu yang menghantui industri tenaga negara.

“Melalui audit terperinci, kita akan dapat mengenal pasti sekiranya wujud Little Napoleans di peringkat kementerian dan suruhanjaya yang melanggar dasar-dasar negara. Tindakan mereka tidak mematuhi prosedur akan mengakibatkan rakyat menanggung kos yang lebih,’’ ujar beliau.