KUALA LUMPUR 16 Mac – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menegaskan bahawa kedua-dua pihak itu tidak mempunyai kaitan dalam sebarang cara dengan platform mata wang kripto, Coinzer.
Menurut KeTTHA dan TNB, penggunaan nama kedua-dua pihak itu dalam laman web Coinzer adalah mengelirukan memandangkan kementerian dan firma utiliti negara itu tidak pernah memberikan kuasa atau sokongan kepada platform terbabit.
“KeTTHA bersama TNB juga mahu menasihatkan bahawa nama dan logo kementerian dan syarikat tidak boleh digunakan tanpa mendapat kelulusan sewajarnya oleh mana-mana pihak ketiga,” kata kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan bersama di sini hari ini.
Baru-baru ini dalam isu sama, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjelaskan bahawa bank pusat itu tidak memberi kuasa atau menyokong platform mata wang kripto, Coinzer tersebut.
Menurut BNM, platform itu telah menggunakan logo BNM dan Jata Negara pada reka bentuk duit syiling fizikal yang dicadangkan atas kertas putih dan laman web Coinzer tanpa mendapat kebenaran.
“Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dan menilai secara teliti tentang risiko berkaitan dengan pelaburan dalam mata wang digital.
“Mata wang digital adalah tidak sah di Malaysia. Sehubungan itu, mata wang digital tidak dilindungi pengaturan atau standard pengendalian pasaran berhemat yang terpakai kepada institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM,” jelas BNM.